Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya
 
 
SHAH ALAM – Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) mencadangkan semua cendekiawan dikumpul untuk berbincang mengenai pelaksanaan hudud di negara ini.

Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sudah tiba masanya orang Islam duduk semeja berbincang mengenai hukum ini malah ia juga langkah penting supaya semua pihak dapat memahami dengan jelas mengenai pelaksanaan hukum hudud di negara ini.


“Kita mahu hukum hudud ini benar-benar dilaksanakan, namun, tidak mahu ia dilaksanakan dalam keadaan terburu-buru kerana ada negeri yang telah ada enakmen berkaitan hukum ini, tetapi tidak dapat laksana atas beberapa alasan.


“Jadi, kita mahu semua cendekiawan seperti mufti, ilmuan Islam, wakil parti politik, pihak berkuasa, pakar Perlembagaan dan perundangan dapat berkumpul untuk berbincang mengenai pelaksanaan hukum ini,” katanya.


Mengulas mengenai hasrat Ilmu untuk mengutus surat rasmi kepada Umno Johor berhubung sokongan mereka terhadap cadangan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu, beliau

berkata surat itu akan disampaikan pada Isnin depan.

Katanya, surat rasmi itu mengandungi beberapa perkara antaranya menyatakan kesediaan mereka menyokong usaha pelaksanaan hudud tanpa mengira kepentingan parti politik.


“Hudud bukan hukuman semberono, kita tidak mahu lihat hukuman ini dalam pelbagai versi sama ada versi Pas atau Umno. Cadangan daripada Umno atau Pas itu bukan jadi persoalan sekarang.


“Dalam hudud tiada kepentingan politik, sebab itulah kita sokong usaha daripada siapa pun untuk laksana hudud,” katanya.