Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu SHAH ALAM – Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu mencabar Kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya menarik balik semua lesen rumah urut di seluruh negara.

Beliau berkata, cabaran itu dibuat memandangkan masih banyak rumah urut beroperasi di negeri ditadbir BN seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.


“Di Johor Bahru, ada lebih 70 rumah urut, BN masih terus mengeluarkan lesen rumah urut tanpa masalah, tetapi tiada pula tumpuan media di situ.



“Jadi, jangan gunakan isu ini (rumah urut) dan salahkan Selangor saja,” katanya ketika menjawab pertanyaan mulut Datuk Warno Dogol (BN–Sabak Bernam) berhubung kelulusan dan rumah urut, pusat spa serta hiburan, semalam.


Mengulas kelulusan lesen rumah urut dan pusat hiburan di negeri ini, Ronnie berkata, semua lesen berkenaan dikeluarkan pada 2006, ketika BN mentadbir dan dasar itu diteruskan sehingga kini.


“Bagaimanapun, kelulusan dan kawalan bagi sesuatu rumah urut dikeluarkan berdasarkan Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2007 yang terdapat di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Kelulusan diberi selepas semua urusan diluluskan agensi luar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan jabatan kesiha-tan daerah,” katanya.


Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 571 premis rumah urut dan 775 pusat hiburan yang berlesen didaftarkan.


“Bagaimanapun, PBT tidak mempunyai rekod premis tidak sah kerana pemantauan sentiasa dijalankan, banyak lesen sudah ditarik balik,” katanya.


Dalam pada itu, Ronnie meminta supaya hotel bajet tidak dipersalahkan dengan aktiviti maksiat kerana ia merupakan tempat pelancongan kerana tidak semua orang mampu tinggal di hotel lima bintang.