Lim Guan Eng
Ketua Menteri Lim Guan Eng 
 
GEORGETOWN - Tidak mungkin DAP akan bertanding 90 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, walaupun pembahagian kerusi dalam Pakatan Rakyat (PR) belum selesai namun DAP hanya akan meletakkan tidak melebihi 60 orang bagi kerusi Parlimen.


“Kalau DAP bertanding 90 kawasan Parlimen, anda akan dilantik sekali untuk menjadi calon kami,” katanya dengan nada bergurau kepada wartawan
Sinar Harian pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah blog propembangkang, suarapakatanrakyat.com yang mendakwa DAP akan bertanding 90 kawasan Parlimen manakala PKR dan Pas masing-masing sebanyak 66 kerusi.


Menurutnya, DAP sedang menyediakan senarai pendek nama calon parti itu dan ia akan diputuskan oleh tiga ahli jawatankuasa parti dalam masa yang sesuai.


Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Pas adalah parti yang paling kuat dalam PR, Guan Eng berkata, ketiga-tiga parti perlu kuat bagi memenangi PRU13 seterusnya menawan Putrajaya.


“Kalau PR nak menang kita tidak boleh bergantung kepada Pas sahaja yang kuat. Kalau satu parti sahaja yang kuat belum tentu PR akan menang.Apa yang paling penting, sokongan rakyat kepada PR," kata beliau.