Pesuruhjaya Pas Terengganu yakin keupayaan Raja Bahrin
Mohd Abdul Wahid (tengah) ketika sidang media di Pejabat Pas negeri, semalam.
KUALA TERENGGANU - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, akur dengan keputusan parti itu untuk memberi laluan kepada Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai calon parti itu.

Mengakui tidak ‘tamak’ kerusi, Mohd Abdul Wahid berkata, Pas mempunyai ramai calon berkelayakan, termasuk daripada golongan istana.

“Ia bukan ditentukan (oleh calon), tetapi diputuskan oleh parti. Sekarang ini, Pas pelbagaikan (calon) dan ada daripada golongan istana, ada rakyat biasa dan profesional. Dari segi pimpinan, kita mempunyai ramai (calon yang layak) dan mereka berkelayakan.

“Jadi itu strategi kita nak tonjolkan mereka yang muda, mewakili istana, rakyat biasa dan profesional supaya calon yang diketengahkan, mewakili semua lapisan masyarakat, termasuk juga wanita, (malah) artis juga ada,” katanya di Pejabat Pas Negeri, semalam.


Katanya, walaupun Raja Bahrin masih baru dalam politik, namun beliau berkeyakinan dengan keupayaan dan kewibawaan sepupu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu.

“Saya juga bermula dari orang baru. Jadi, saya rasa peluang dia ada kerana kita lihat, kadang-kadang ramai juga ‘first timer’ boleh menang. Itu perkara biasa.

“Orang lama sangat pun, kalau orang dah muak, kalah juga. Jadi tidak timbul soal orang baru atau lama, selagi kita tengok dia ada wibawa, kemampuan dan rakyat boleh terima dia, saya rasa peluang dia sama juga dengan orang lain,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan, majlis pengumuman calon Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan 18 April ini di Rusila, Marang, selepas Isyak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyampaikan kuliah Maghrib khas diikuti solat Isyak, solat Hajat seterusnya pengumuman calon dan bai’ah bagi calon-calon PR.

Katanya, hasil persetujuan, daripada lapan kerusi Parlimen di Terengganu, tujuh daripadanya ditandingi Pas dan satu lagi ditandingi PKR iaitu Kemaman.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas jumlah kerusi Dun yang ditandingi Pas dan berkata, ia akan diumum 18 April depan.