09 Jun, 2013
Lagi Laporan Rasis Dari Utusan..
KUALA LUMPUR, 9 Jun — Masyarakat Cina yang membuat keputusan mengikut
emosi dan rakus hanya akan merugikan diri sendiri kata akhbar edisi Ahad
Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, di samping menggesa masyarakat Cina
di Malaysia supaya bersyukur.
Kolumnis akhbar milik Umno Awang Selamat berkata, keputusan pilihan raya
ke-13 baru-baru ini adalah salah satu contoh di mana masyarakat Cina
tidak bersyukur dengan jasa dan bantuan kerajaan walaupun mereka
sudahpun menguasai ekonomi negara, tetapi sebaliknya masih menyokong
pembangkang Pakatan Rakyat (PR).
Awang Selamat kemudiaan memetik dan menyokong kenyataan Felo Penyelidik
Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang mengatakan tidak ada negara
lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai “Cina”
kecuali di Malaysia serta memuji penyelidik tersebut kerana masih ada
segelintir Cina yang rasional dan bersikap terbuka.
“Peringatan beliau sangat tepat pada masanya. Mungkin pedih bagi
kebanyakkan orang Cina tetapi itulah realiti yang harus diakui,” kata
Awang Selamat.
“Di sebalik sentimen perkauman tebal majoriti kaum Cina, ada segelintir
suara daripada kalangan Cina yang rasional dan bersikap terbuka,”
tambahnya.
Awang Selamat kemudiaan menghalakan kritikannya kepada Persekutuan
Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
yang dianggap sebagai melampau terutama selepas mengkritik perlantikkan
menteri tidak fasih berbahasa Mandarin.
“Perkara ini melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa
Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki
keadaan ini,” Awang Selamat memetik kata Teo seperti yang dilaporkan
pada Khamis lalu.
Petikan analisis berkenaan dilihat masih lagi menyalahkan masyarakat
Cina yang memilih DAP dalam Pilihan Raya 2013, semata-mata mahu
menumbangkan kuasa politik Melayu.
Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, menggunakan
istilah “tsunami Cina” selepas keputusan pilihan raya menunjukkan
Barisan Nasional kekal berkuasa tetapi prestasi merosot, apabila
memenangi hanya 133 daripada 222 kerusi Parlimen.
Akhbar Umno, Utusan Malaysia, selepas berakhir pilihan raya 5 Mei lalu
turut mengeluarkan tajuk “Apa lagi Cina mahu?” sebagai tindakan
menunjukkan keputusan pilihan raya dibentuk oleh kaum Melayu menentang
kaum Cina.
Walau bagaimanapun penganalisis menolak tanggapan sedemikian, Merdeka
Center sebaliknya menegaskan keputusan pilihan raya menunjukkan
peralihan besar masyarakat bandar berbilang kaum dan pengundi kelas
menengah menentang BN
Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian mengatakan bacaan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai pilihan raya umum 5 Mei
sebagai “tsunami Cina” tidak tepat kerana Melayu bandar turut mengundi
untuk Pakatan Rakyat (PR).
“Terdapat persaingan di kawasan berpendapatan rendah dengan pendapatan
sederhana manakala bandar dengan kawasan luar bandar,” Ibrahim dipetik
sebagai berkata.
Penganalisis telah mengatakan kekalahan bersejarah BN dalam Pilihan Raya
2013 adalah disebabkan oleh gabungan tersebut kehilangan sokongan
daripada kelas menengah dan pengundi bandar, mendalamkan lagi jurang
bandar-luar bandar di negara ini.
Dalam kajian awal mengenai trend pengundian, penganalisis mengatakan
walaupun terdapat peningkatan dalam sokongan Cina kepada PR, tsunami
politik juga menyaksikan sokongan Melayu dari golongan menangah dan
atas.
Ibrahim juga dilaporkan berkata beberapa kawasan juga menyaksikan BN menang tipis, bukti persaingan sengit diantara BN dan PR.
BN hilang undi popular buat pertama kali semenjak 1969 ketika mereka masih Perikatan.
BN juga hilang lagi tujuh kerusi Parlimen kepada PR Ahad lalu. BN
mendapat 133 kerusi sementara PR mendapat 89 kerusi Parlimen dalam
Pilihan Raya 2013. ~the malaysian insider


0 orang berkata:
Post a Comment