PRK Dun Kuala Besut

SHAH ALAM – Penganalisis politik menjangkakan Pas akan turun dengan strategi agresif bagi memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut, Terengganu.
Pensyarah, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd berkata, strategi itu diambil berikutan PRK itu dapat memberi peluang kepada Pas untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

“Jika Pas menang, kedudukan kerusi akan menjadi 16-16. Kerajaan negeri tidak dapat dibentuk dan kuasa untuk menentukan tampuk pentadbiran negeri terletak kepada sultan.

“Maka, situasi ini beri peluang terbuka kepada Pas. Mereka mungkin mengatur jentera dengan agresif dan memberi tumpuan penuh kepada kempen untuk menang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, BN juga pasti perhebat kempen untuk kekal di Kuala Besut.

“Kedudukan amat getir. Jika mereka kalah dan kedudukan kerusi terikat. Mahu tidak mahu, BN perlu menang,” katanya.