Red Warriors mahu akhiri Liga Super dengan kemenangan
The Red Warrior
KEJAYAAN Kelantan menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan final Piala FA semalam membuktikan skuad The Red Warriors (TRW) mampu memberikan tentangan walaupun berdepan pasukan yang memiliki pemain bertaraf bintang.

Malah selepas dikritik hebat dengan mempamerkan aksi hambar pada saingan Liga Super, Kelantan membuktikan pasukan itu masih lagi pasukan Gergasi Pantai Timur apabila merangkul kejuaraan Piala FA buat kali kedua berturut-turut dengan menewaskan JDT 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Bukan itu sahaja, kejayaan ini jelas menggembirakan peminat Kelantan yang ingin melihat kebangkitan pasukan kesayangan mereka selepas mempamerkan aksi hambar sebelum ini.

Ini diakui sendiri oleh salah seorang peminat tegar Kelantan yang hanya ingin dikenali sebagai Mamat.

Beliau menyifatkan prestasi yang dipamerkan oleh skuad Kelantan pada malam final itu sangat luar biasa dan membanggakan.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain Kelantan. Mereka jelas menguasai bola dengan baik.

“Inilah corak permainan yang kami mahukan dan kehadiran kami untuk menyokong mereka di stadium tidak sia-sia,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Seorang lagi peminat Kelantan, Firdaus Fauzi, 25, memuji barisan pertahanan Kelantan yang berusaha untuk menyekat pergerakan pemain JDT daripada menjaringkan gol.

Menurutnya, semangat dan kerjasama yang dipamerkan pasukan Kelantan telah memberikan hasil yang lumayan kepada pasukan itu.

“Membanggakan, malah setiap pergerakan yang dibuat pemain sangat mantap dan saya betul-betul teruja.

“Inilah saat yang kami tunggukan selama ini dan kejayaan Kelantan membuktikan kami masih lagi pasukan yang digeruni. Terima kasih saya ucapkan kepada barisan pemain kerana mengekalkan Piala FA di Kota Bharu,” ujarnya.

Menurut Azman Zakaria, 26, pula kejayaan Kelantan ke atas JDT malam tadi adalah kemenangan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong TRW.

Ini kerana katanya, kejayaan itu sekali gus membuktikan bahawa meskipun Kelantan kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain musim ini, ia sedikit tidak merencatkan perjalanan pasukan itu.

“Semua orang cakap kehilangan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Awe (Nurul Azwan Roya) akan menjejaskan Kelantan.

“Tapi adakah pemergian mereka ke JDT memberi kesan kepada pasukan itu? Saya lihat Kelantan masih hebat dan malam ini (tadi)  telah membuktikan segala-galanya.

“Saya betul-betul berbangga dan berharap Kelantan akan terus mencapai kejayaan ini selepas ini,” jelas beliau.

Sementara itu, bagi penyokong JDT, Nuri Hassan pula tetap berbangga dengan prestasi semasa pasukan JDT meskipun mereka gagal untuk mencipta sejarah buat pertama kali musim ini.

"Tahun ini adalah tahun pertama kita. Kita sepatutnya berasa bangga atas pencapaian JDT yang berjaya mara ke pentas final.

“Mungkin tahun ini rezeki tidak memihak kepada kami, tapi saya yakin JDT akan terus memperbaiki dan bekerja keras untuk memantapkan lagi pasukan itu musim depan,” katanya.

Rosmadi Ahmad pula menegaskan bahawa sokongan mereka kepada JDT tidak akan pudar meskipun pasukan itu gagal menjuarai Piala FA.

Malah katanya, semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk memberikan sokongan kepada pasukan JDT bagi meneruskan perjuangan untuk musim ini.

“Mungkin tiada rezeki untuk JDT malam ini, tapi saya yakin mereka masih berpeluang untuk muncul juara Liga Super.

“Jadi saya harap semangat pemain tidak akan luntur dan terus berusaha untuk menaikkan nama JDT,” jelas beliau yang tetap berpuas hati dengan pemain JDT.