11 Jun 2013
Pakatan tak pernah bincang boikot angkat sumpah
2 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Isu ahli parlimen Pakatan Rakyat yang
didakwa akan memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat
pada sesi kali ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan
Rakyat, kata Datuk Mahfuz Omar.
Sebaliknya kata Naib Presiden PAS itu, Pakatan Rakyat hanya memutuskan
untuk tidak hadir pada majlis taklimat Dewan Rakyat, yang diadakan hari
ini.
Justeru, beliau yang juga Ketua Whip Parlimen PAS menjangkakan semua
ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir pada majlis angkat sumpah pada
24 Jun ini, dan seterusnya mengikuti titah ucapan DiRaja pada 25 Jun
ini.
"Tidak timbul soal kita memboikot sidang Dewan Rakyat sesi ini, ia akan
berjalan seperti biasa. Cuma taklimat hari ini yang kita putuskan untuk
tidak hadir," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat dikatakan akan memboikot sidang Dewan Rakyat
sebagai tanda protes terhadap sistem pilihan raya umum ke-13 (PRU13)
yang didakwa dicemari penipuan.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari
ini dilaporkan berkata, kehadiran hari pertama pada sesi Parlimen adalah
penting kerana mengikut peraturan mesyuarat.
Beliau juga berkata ahli parlimen yang tidak hadir pada hari pertama
tanpa sebab munasabah dianggap sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan
Agong, Dewan Rakyat serta negara ini.

Sementara itu, majlis taklimat yang diadakan hari ini di parlimen hanya dihadiri Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (gambar), manakala 88 ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain tidak menghadirinya.
EEr Teck Hwa dalam kenyataannya kepada media memohon maaf kerana beliau
pergi ke majlis hari ini kerana tidak tahu akan arahan untuk memboikot
majlis itu.
Beliau yang merasa terpingga-pingga selepas hanya kesaorang di majlis
itu berkata, "Saya memohon maaf dengan sejujur-jujurnya dan akan
menerima sebarang tindakan dari parti."
harakah/-


0 orang berkata:
Post a Comment