15 Jun, 2013
Pengakuan SPRM Membongkarkan Sandiwara Najib Dan Paul Low
Sudah 48 jam tetapi Perdana Menteri mahupun Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan (EAIC) masih lagi gagal untuk memberikan penjelasan yang
memuaskan tentang identiti pegawai penyiasat tunggal EAIC Mohd Nadzri
Ibrahim, sama ada beliau merupakan pegawai SPRM sama yang terlibat dalam
kes mendiang Teoh Beng Hock.
Jika EAIC tidak mampu mengesahkan identiti pegawai penyiasat kanannya,
maka kemampuan EAIC amat diragui. Ini ditambah pula dengan kritikan
mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid bahawa setelah menelan belanja
RM14 juta selama dua tahun sejak 2009, EAIC hanya berjaya mengeluarkan
dua amaran dan satu tindakan disiplin dalam tempoh masa tersebut.
Dalam perkembangan terbaru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) telah tampil mengesahkan bahawa Mohd Nadzir Ibrahim merupakan
pegawai SPRM yang telah merakam keterangan Teoh Beng Hock dan kini
“dipinjam” kepada EAIC.
Mengikut laporan-laporan berita, pegawai ini juga telah dikenal pasti
oleh Majlis Peguam sebagai salah seorang pegawai SPRM yang patut
disiasat lanjut atas beberapa tuduhan termasuk mengusik bahan bukti.
Pengakuan daripada SPRM ini adalah dialu-alukan dan jelas membuktikan
bahawa janji-janji transformasi dan integriti hanyalah sandiwara oleh
Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional. Ini kerana seorang
pegawai yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan yang masih tiada
hujung pangkal kini dilantik sebagai pegawai penyiasat kanan dalam kes
kematian dalam tahanan yang lain.
Demi melanjutkan hayat pentadibran Barisan Nasional, Perdana Menteri
Dato’ Sri Najib Razak enggan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan
Salahlaku Polis (IPCMC) dan sebaliknya telah menubuhkan EAIC yang bukan
sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah malah langsung tidak mendapat
keyakinan rakyat. Dengan melengahkan penubuhan IPCMC, masalah kematian
dalam tahanan semakin berleluasa sehingga mencatat sembilan kes dalam
enam bulan pertama tahun ini dan empat kes dalam masa dua minggu yang
lepas.
Datuk Paul Low selaku “Menteri Integriti” pula telah gagal melaksanakan
tanggungjawab beliau dan terbukti tidak berpegang kepada prinsip
Transparency International yang telah diterajui beliau sebelum diangkat
menjadi menteri. Beliau juga telah gagal bukan sahaja dalam membawa
pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, malah Paul Low telah
bersekongkol mempertahankan EAIC, lantas menjadi salah seorang watak
dalam sandiwara Barisan Nasional ini.
Najib tidak patut berlengah lagi
Justeru, kami menggesa Dato’ Sri Najib yang masih lagi diam membisu
tentang hal ini supaya mengambil tindakan serta merta untuk menggugurkan
pegawai tersebut daripada EAIC, sepertimana yang telah disyorkan oleh
SPRM sendiri. Beliau juga harus memansuhkan harimau tidak bertaring EAIC
dan menubuhkan IPCMC dengan kadar segera.
Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Addin



0 orang berkata:
Post a Comment