20 Jun 2013
Cadangan PAS bersama Umno, pungguk rindukan bulan
11 Syaaban 1434 H. [MOD] -
| Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, |
Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penganalisis
politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti yang tersiar di dalam Sinar
Harian hari ini 20 Jun 2013. Saya kira kenyataan yang dikeluarkan sangat
tidak terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata. Nampaknya
pandangan karut ini cuba untuk disebarkan atas nama akademik kononnya,
padahal jelas nampak kepentingan UMNO timbul di permukaan air.
Di dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan
UMNO untuk memperjuangkan Islam. Ini kerana parti-parti yang ada di
sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya UMNO sahaja yang
memperjuangkan Islam.
Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan
pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan
yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut,
terus menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersemban.
Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.
Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya UMNO yang
memperjuangkan Islam. Barangkali langkah UMNO membenarkan premis judi di
Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam
menurut kacamata 'orang cerdik pandai' ini?
Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan
tertinggi UMNO mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa
pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan
untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang
menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini.
Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak
buta untuk membaca semula catitan ini.
Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan
UMNO, apa lebihnya UMNO berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan
Islam?
Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil
rakyat UMNO di Johor yang mencadangkan hudud dengan label 'hilang akal',
di mana pemimpin UMNO menyembunyikan diri? Jika lebihnya UMNO ialah
kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN UMNO di
Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di
Kelantan lebih banyak jauh mengatasi UMNO!
Jika UMNO memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas
royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu
dan beragama Islam? Kenapa UMNO memainkan peranan untuk menyekat
pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang
lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada
pengkhianat?
Pada saya, Islam yang dibawa oleh UMNO ialah Islam celup. Selagi dasar
yang menjadi tunjang perjuangan UMNO ialah kebangsaan, tiada apa-apa
nilai terhadap gerak laku UMNO sekalipun nampak seolah-olah ia
pro-Islam. Di zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk
diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas
semangat Islam yang sebenar.
Kerana itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama UMNO
selagi UMNO tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang
rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil,
mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup
melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat
bising!
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh: 11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M


0 orang berkata:
Post a Comment