21 Jun, 2013
Siapakah Pejuang Sebenar? - Dr. Maza
Ramai dalam sejarah insan-insan yang ditabalkan sebagai pejuang. Rekod
kehidupan mereka membuktikan bahawa mereka memang pejuang. Mereka berani
menanggung risiko perjuangan. Mereka bukan sahaja sanggup berkorban
tetapi benar-benar telah berkorban kerana perjuangan mereka.
Mengharungi rintangan yang pahit dan cabaran yang getir sehingga mahu tidak mahu mereka diiktiraf oleh sejarah. Jika tidak pun pada hari mereka hidup, mereka akan diiktiraf selepas mereka mati.
Jika tidak diiktiraf oleh golongan yang berkepentingan, mereka kelak tetap akan diiktiraf oleh golongan yang sedar dan insaf akan kepahlawanan mereka. Pun begitu ada juga pejuang yang dilupakan. Ada juga wira yang tidak didendang dan dikenang.
Mengharungi rintangan yang pahit dan cabaran yang getir sehingga mahu tidak mahu mereka diiktiraf oleh sejarah. Jika tidak pun pada hari mereka hidup, mereka akan diiktiraf selepas mereka mati.
Jika tidak diiktiraf oleh golongan yang berkepentingan, mereka kelak tetap akan diiktiraf oleh golongan yang sedar dan insaf akan kepahlawanan mereka. Pun begitu ada juga pejuang yang dilupakan. Ada juga wira yang tidak didendang dan dikenang.
Ciri Pejuang
Pejuang itu muncul dalam pelbagai medan dan cara. Namun bersatu dalam
beberapa perkara asas. Mereka ada matlamat yang dapat difahami, ada
keberanian untuk mencapai matlamat tersebut dan ada kesanggupan untuk
menanggung bebanan perjuangan. Orang yang tidak tahu matlamat
perjuangannya tidak boleh dianggap pejuang. Orang yang bacul juga bukan
pejuang.
Orang yang tidak sanggup berkorban dan mengharungi susah payah dalam
membayar harga perjuangan juga tidak layak digelar pejuang. Orang yang
menyuruh orang lain memanggilnya wira ataupun pejuang, sedangkan dia
tidak berkorban bahkan meratah keuntungan atas hasil usaha orang lain
lagilah tidak layak digelar pejuang.
Apabila pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka menjemput saya pada 2-3 Julai ini
untuk mengulas novel sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan berjudul
‘Penyeberang Sempadan’, maka saya pun membaca novel tersebut sehingga
habis. Novel yang memenangi Hadiah Sako itu memang menarik untuk dibaca.
Kisah tentang seorang pejuang yang dimunculkan oleh keadaan kemudian
hidup dalam kebingungan mencari arah dalam dunia yang penuh tidak pasti.
Watak utama yang diberi nama ‘Kuay’ dalam novel itu merupakan pejuang
bersenjata bersama komunis yang menentang British sebelum kemerdekaan.
Beliau menjadi ‘orang buruan’ dan terus dianggap sebagai ancaman kepada
negara walaupun selepas 20 tahun negara merdeka. Dari novel itu saya
terfikir, siapakah pejuang?! Orang seperti Kuay, seperti Mat Indera dan
seumpama mereka, apakah dianggap pejuang?
Kehebatan
Dalam sejarah, kita melihat orang seperti Che Guevara yang berjuang
dengan senjata dan gerila. Saya terpesona dengan kesanggupan dan
pengorbanannya. Ada yang seperti William Wilberforce yang berjuang
menerusi politik dan parlimen.
Saya amat kagum dengan kesungguhannya, bahkan dengan isi perjuangannya
yang mulia. Berjuang untuk satu hasrat yang murni iaitu pembebasan
hamba. Sanggup mempertaruhkan kepentingan politik dan menerima tekanan
demi hasrat tersebut.
Filem mengenainya ‘The Amazing Graze’ benar-benar menjadikan perasaan
sebak dan semangat membakar. Nelson Mandela juga hebat sebagai pejuang.
‘Long Walk to Freedom’ menjadikan kita terpukau dengan kesanggupan
menanggung derita yang begitu berat untuk sebuah perjuangan yang
diyakini benar. Sanggup dipenjara, tidak rela dibebaskan jika perjuangan
tergadai. Hebat!
Gandhi juga pejuang yang hebat yang menggunakan sentiment rakyat untuk
mencapai kepentingan perjuangan yang baik. Florence Nightingale
merupakan wanita gigih lagi mulia yang berjuang untuk memberi khidmat
kepada orang lain.
Menonton filem Sang Pencerah menjadikan saya bersemangat untuk mengikuti
watak utamanya iaitu Kiyai Ahmad Dahlan yang merupakan tokoh besar
sejarah tajdid agama di Indonesia. Terasa menusuk jiwa. Perjuangan dan
cabaran. Bak kata sang sufi ‘sesiapa yang tidak rasa, tidak dapat
memahaminya’.
Terlalu ramai lagi jika hendak disebutkan dalam sejarah pembinaan
tamadun manusia. Mengiktiraf keperwiraan seseorang pejuang, bukan
semestinya kita menyokong ataupun bersetuju dengan semua pegangannya.
Kita mungkin tidak bersetuju dengan ‘socialism’ Che Guevera, namun kita
perlu akur dia pejuang yang handal dan ada nilai-nilai positive yang
patut dipuji pada dirinya.
Iktiraf
Golongan agama di samping membaca dan mengkaji tentang sejarah para
pejuang ‘agama’, perlu juga melihat sejarah para pejuang lain dari
pelbagai latar supaya kita memiliki horizon penilaian yang lebih luas.
Jika pun kita tidak bersetuju, kita wajar juga mengiktiraf kesungguhan
dan mempelajari strategi yang telah mereka lalui. Bahkan tidaklah salah
untuk kita mengiktiraf kebaikan perjuangan mereka dan menyertainya jika
ternyata itu satu kebaikan.
Seperti yang selalu disebutkan bahawa Nabi s.a.w mengiktiraf dan
menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana
isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar,
juga al-Baihaqi (dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Nabi s.a.w
bersabda:
“Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai.”.
Di samping kita juga perlu tahu, mungkin ramai dalam kalangan mereka
yang tersenarai sebagai pejuang itu tidak sampai kepada mereka ajaran
Islam yang sebenar. Maka, kita tidak boleh menuntut untuk mereka
mendasari perjuangan mereka kepada ajaran Islam seperti yang kita
fahami. Firman Allah: (maksudnya) “Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun
sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15)
Dikenang
Ramai pejuang yang tidak dikenang semasa hayat mereka. Bahkan kebanyakan
pejuang itu menderita semasa hidup mereka. Diburu, dihina, dicerca,
dipenjara, diseksa bahkan ada yang dibunuh.
Nilai perjuangan pula, diukur berdasarkan kepada aliran masing-masing.
Seseorang mungkin dianggap pejuang oleh satu pihak, tetapi mungkin pulak
dianggap pengkhianat oleh pihak yang lain. Bukan semua pejuang mendapat
pengiktirafan menyeluruh oleh bangsa dan negaranya.
Betapa ramai pejuang yang difitnah semasa hayat mereka dan fitnah itu
terus dibawa sehingga mereka telah lama pergi meninggalkan dunia ini.
Kemudian apabila pejuang itu dikenang, apa penghargaan yang hendak
diberikan selepas mereka tiada?!
Saya pernah berkata kepada seorang ketua negara yang berbicara dengan
saya secara peribadi bahawa ramai pemimpin yang dikenang jasanya dengan
diberikan nama bangunan, atau jalanraya atau sekolah atau bandar sempena
namanya.
Dapatkah dia merasai nikmat itu? Dapatkah dia merasa kenikmatan hanya
kerana namanya disebut selepas mati? Sedangkan dia berhadapan dengan
Tuhan yang akan mempersoalkan segala tindakan dan amalannya.
Ramai pula yang mengaku jujur dan ikhlas, sedangkan maksud sebenarnya
Allah mungkin tidak demikian. Maka dalam Islam, seseorang yang hendak
berjuang, terlebih dahulu hendaklah dia membetulkan niatnya dengan
tuhannya.
Keimanan yang luhur kepada pembalasan baik dan buruk terhadap amalan di
dunia ini boleh menjadikan seseorang itu pejuang yang sejati. Balasan
nikmat dari Allah itu yang paling diharapkan. Pengiktirafan Allah itu
maha penting. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda:
“Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”.Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri.Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”.Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”.Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).
Tiada syurga untuknya, sebaliknya baginya neraka. Maka, dalam Islam
sesiapa yang ingin berjuang hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah,
kemudian memastikan dia berada pada landasan perjuangan yang betul yang
Allah redha padanya. Nabi s.a.w pernah ditanya:
"Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, pejuang Islam ialah seorang ikhlas niat dan benar jalan perjuangan yang dipilihnya.



0 orang berkata:
Post a Comment