Datuk Kamaruddin Jaafar
Datuk Kamaruddin Jaafar
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berikrar akan memastikan perjalanan persidangan Dewan Rakyat ke-13, jika pencalonannya diterima, akan berlaku adil dan telus.

Menurutnya, kepercayaan yang diberikan PR dalam usaha mendokong amalan demokrasi sebenar tidak akan dipersia-siakan di samping memastikan Perlembagaan Persekutuan terus dimartabatkan.


"Saya rasa amat terharu atas pemilihan saya menjadi calon timbalan Speaker.


"Sudah tentu, saya akan berkhidmat dengan adil dan telus walaupun saya dipilih daripada parti," katanya pada Sinar Harian Online.


Semalam, PR  memutuskan untuk mengemukakan calonnya bagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi sidang Parlimen 2013-2018.


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR sebulat suara memilih  Kamaruddin  untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan terbabit.


Menurutnya, tujuan PR berbuat demikian adalah bagi memantapkan lagi proses demokrasi dan memastikan perjalanan perbahasan berlangsung secara telus dan adil.


"PR tegaskan Speaker mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.


"Kita juga nak pastikan Parlimen tidak jadi berat sebelah dan hanya dengar suara sebelah pihak sahaja," katanya.