Kerajaan Selangor nafi lulus lesen lombong batu kuartza
5 Jun 2013
Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor hari ini menafikan pihaknya
meluluskan pemberian lesen perlombongan batu kuartza kepada mana-mana
pihak di sepanjang lima kilometer Permatang Kuartza Klang Gates, di
Gombak.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa aktiviti
perlombongan terbabit yang sedang berjalan di kawasan itu dijalankan
secara haram dan dipercayai berlaku pencerobohan di kawasan hasil
mineral milik Kerajaan Negeri.
"Aktiviti perlombongan kuartza yang ada di kawasan Permatang Kuartza di
daerah Gombak seperti yang dilaporkan oleh media semalam adalah
aktiviti haram.
"Walaupun mendapat banyak permohonan dari syarikat dalam dan luar
negara termasuk China, Jepun dan Korea, Kerajaan Negeri Selangor tetap
tidak akan mengeluarkan lesen bagi menjayakan usaha untuk mendapat
pengiktirafan sebagai Taman Warisan Dunia daripada Unesco," katanya pada
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Selangor di Pejabat
Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.
Susulan pencerobohan itu katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan
Jabatan Mineral dan Geosains menyediakan laporan terperinci jumlah batu
kuartza yang telah dikeluarkan dari kawasan itu dan kerosakkan akibat
perlombongan haram tersebut.
Katanya, laporan itu dijangka disiapkan dalam tempoh dua minggu bagi
memberi peluang pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut termasuk
mengenal pasti kawasan batu kuartza yang mungkin telah diceroboh.
"Kita juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta
Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat supaya meningkatkan pemantauan di
kawasan Permatang Kuartza.
"Mereka yang didapati terlibat menjalankan perlombongan haram ini boleh
didakwa atas kesalahan menjalankan perlombongan tanpa lesen, menceroboh
dan mencuri," katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment