Abdul Gani Patail
Abdul Gani Patail 
 
SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dalam satu kenyataan memberitahu seorang anggota polis yang terbabit dalam kes pembunuhan seorang tahanan akan didakwa hari ini.
Menurut Gani, pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Ketua Polis Negara (KPN) selesai menjalankan siasatannya berhubung kes tersebut dan menyerahkan hasil siasatan kepada jabatannya semalam.

“Berdasarkan keterangan yang diperoleh menerusi siasatan itu, saya telah memutuskan untuk menuduh anggota polis yang terlibat atas tuduhan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Anggota polis yang berkenaan akan dituduh di mahkamah petang hari ini, 5 Jun 2013,” katanya.

Dhamendran yang berusia 31 telah meninggal dunia pada 21 Mei lalu dalam selnya semasa dalam jagaan polis di Lokap Cawangan D9 di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPK Kuala Lumpur).

Mendiang diberkas pada 11 Mei 2013 kerana disyaki terlibat dalam kes cubaan membunuh yang melibatkan senjata api dan telah ditahan di bawah perintah reman dari 12 Mei 2013 sehingga tarikh kematiannya.

"Berdasarkan bedah siasat yang telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei 2013, punca kematian didapati sebagai “diffused soft tissue injuries due to multiple blunt force trauma”," tulis kenyataan itu lagi.

Meskipun kematian tersebut amat dikesali, Gani berkata, "tindakan segera yang diambil oleh PDRM dalam kes kematian Dhamenderen a/l Narayanasamy adalah membanggakan dan menggambarkan komitmen PDRM untuk menegakkan kewibawaan institusi Polis Diraja Malaysia."