Mirzan Mahathir tidak miliki saham Petron
5 Jun 2013
Petron
KUALA LUMPUR - Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron
Malaysia) hari ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang Mirzan
Mahathir tidak memiliki sebarang saham ataupun beliau mempunyai peranan
dalam syarikat.
Petron Malaysia membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kepada
pertanyaan daripada seorang pemegang saham di mesyuarat agung tahunan
berhubung pegangan saham Mirzan dalam Petron Malaysia dan syarikat
induk, Petron Corporation, dan syarikat pegangan, San Miguel
Corporation.
Syarikat itu mengesahkan yang Mirzan ialah ahli lembaga syarikat induknya, Petron Corporation Filipina.
Beliau telah dipilih sebagai pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos, 2010 dan memegang 1,000 saham,
Di bawah undang-undang kecil syarikat, seseorang itu harus menjadi pemegang saham untuk layak sebagai Pengarah.
Petron Corporation mempunyai 9.4 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.
Sebelum memegang jawatan pengarah dalam Petron Corporation, syarikat
berkata yang Mirzan ialah pengarah San Miguel Corporation untuk tempoh
singkat dari 1 September, 2009 sehingga 15 April, 2010.
Beliau masa ini menguasai 5,000 saham San Miguel. San Miguel
Corporation mempunyai sejumlah 3.3 bilion saham yang disenaraikan di
Bursa Saham Filipina.
"Kami berharap yang fakta ini akan mengakhiri segala spekulasi yang
berkaitan Mirzan, yang sememangnya tidak adil untuk keluarga Dr
Mahathir.
"Saham yang dipegang Mirzan dalam San Miguel Corporation dan Petron
Corporation sememangnya saham yang melayakkan untuk jawatan pengarah,"
kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, Ramon S. Ang dalam satu
kenyataan.
"San Miguel, Petron Corporation dan Petron Malaysia ialah syarikat
penyenaraian awam, yang patuh kepada standard ketat tadbir urus," tambah
Ang. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment