Pertikaian Laut China Selatan perlukan tolak ansur untuk jamin keamanan
05/06/2013 6:57pm
KUALA LUMPUR - China dan negara Asia Tenggara perlu bertolak ansur
dalam menyelesaikan pertikaian wilayah di Laut China Selatan bagi
menjamin wujudnya keamanan dan keselamatan berkekalan serta kemakmuran
ekonomi di rantau ini.
Pemerintah Markas Pasifik Amerika, Laksamana Admiral Samuel J.
Locklear III hari ini berkata, negara terbabit perlu mengamalkan sikap
tolak ansur bagi mengelak tercetusnya pelbagai akibat buruk terhadap
ekonomi dan keselamatan di rantau berkenaan.
Katanya, negara terbabit juga perlu mengadakan dialog dan
perbincangan pelbagai hala bagi meredakan ketegangan dan meningkatkan
persefahaman sesama mereka.
Pegawai tertinggi tentera Amerika di Pasifik itu menganjurkan agar
negara berkenaan berkongsi maklumat dan bekerjasama dalam membasmi
jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan
kerana langkah ini boleh menyumbang kepada wujudnya tolak ansur antara
mereka.
"Kami berpendapat sebarang pertikaian wilayah boleh diselesaikan
secara aman, tanpa melibatkan sebarang konflik,” katanya pada sidang
akhbar selepas menyampaikan ucapan pada persidangan meja bulat Asia
Pasifik ke-27 selama tiga hari di sini.China, Taiwan, Vietnam, Filipina,
Brunei dan Malaysia menuntut seluruh atau sebahagian daripada kawasan
di Laut China Selatan. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment