Sunday, June 2, 2013
PEMBERITAHUAN: Sebahagian jalan susur LDP ditutup sehingga 9 Jun
Sebahagian lorong kiri jalan susur LDP ditutup
KUALA LUMPUR - Sebahagian daripada lorong kiri di jalan susur Lebuh Raya
Damansara Puchong (LDP), bermula dari penghujung Jalan Leong Yew Koh
hingga ke selekoh ke Jalan Damansara (menghala ke Kuala Lumpur), akan
ditutup mulai esok hingga 9 Jun sebagai suatu langkah percubaan.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit
Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Amir Mahmood Razak berkata, penutupan
lorong sepanjang 300 meter itu adalah untuk membolehkan MRT Corp serta
kontraktornya dan pihak berkuasa lebuh raya mengkaji kesan daripada
penutupan itu terhadap aliran trafik di LDP dari Petaling Jaya (Kepong)
ke Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan hari ini, Amir berkata sepanjang tempoh berkenaan, orang
ramai masih boleh menggunakan jalan susur berkenaan untuk ke Jalan
Damansara kerana terdapat satu lorong yang dibuka.
"Oleh kerana jalan ini merupakan laluan utama di LDP, penutupannya
secara percubaan akan membolehkan kami, sebagai pemegang konsesi, untuk
mengukur kesannya sebelum membuat sebarang keputusan bersifat jangka
sederhana dan panjang,” kata beliau.
Amir berkata penutupan itu juga perlu dilakukan untuk memudahkan kerja
berkaitan pemasangan cerucuk dan konkrit bagi pembinaan tiang MRT dan
stesen Taman Tun Dr Ismail pada masa akan datang.
Dalam tempoh percubaan itu, kenderaan dari arah Kepong boleh menggunakan
laluan alternatif berikut untuk mengelak daripada terperangkap dalam
kesesakan pada waktu puncak.
- Alternatif I - Kenderaan menghala ke Kuala Lumpur boleh memasuki
Lebuhraya SPRINT (ke arah Kampung Sungai Penchala), keluar di Jalan
Datuk Sulaiman (melalui TTDI) dan seterusnya menggunakan Jalan Wan Kadir
untuk ke Jalan Damansara. Bahagian laluan ini tidak dikenakan bayaran
tol.
- Alternatif II - Masuk ke Jalan Burhanuddin Helmi (di Persimpangan
Bertingkat Bandar Utama), keluar di Jalan Datuk Sulaiman (melalui TTDI)
dan seterusnya menggunakan Jalan Wan Kadir untuk ke Jalan Damansara.
- Alternatif III - Masuk ke Jalan Leong Yew Koh (di Persimpangan
Bertingkat Taman Tun Dr. Ismail), keluar di Jalan Datuk Sulaiman
(melalui TTDI) dan seterusnya menggunakan Jalan Wan Kadir untuk ke Jalan
Damansara.
Maklumat lanjut berhubung penutupan laluan berkenaan boleh didapati
dengan melayari laman web MRT di alamat www.kvmrt.commy atau
www.mymrt-underground.com.my, twitter @MRTMalaysia atau twitter @MyMRT
Underground atau menghubungi talian 1800-82-6868. - Bernama



0 orang berkata:
Post a Comment