Suspek dera kanak-kanak diberkas
KUALA TERENGGANU, 13 Jun — Polis menahan seorang lelaki yang disyaki
terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun
di Kampung Taman Permint Permai, Bukit Chendering di sini.
Lelaki berusia 28 tahun yang merupakan teman lelaki ibu kanak-kanak
itu, ditahan pada pukul 1.40 pagi semalam di sebuah rumah tidak
bernombor di Kampung Gong Merawang, Marang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata
lelaki yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Marang itu mempunyai
rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Semasa ditahan, kami turut menjumpai sebuah motosikal yang
dilaporkan dicuri di Kuala Terengganu dan ujian saringan air kencing
mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Isnin lepas, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyelamatkan seorang
kanak-kanak perempuan yang dipercayai menjadi mangsa dera rakan lelaki
ibunya.
Budak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan itu ditemui dalam
keadaan sebelah kakinya berwarna kehitam-hitaman dan berbau busuk
dipercayai akibat terkena objek panas lebih seminggu lepas.
Manoharan berkata polis telah merakam keterangan daripada ibu mangsa
dan menggunakan khidmat Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) untuk mengambil
keterangan daripada kanak-kanak berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, kami dapati memang terdapat unsur
penderaan pada mangsa, dengan kecederaan paling serius ialah di bawah
tapak kaki kanak-kanak itu yang melecur akibat bahan panas.
“Kami percaya mangsa telah seminggu didera berdasarkan kesan luka
yang dialami sebelum laporan dibuat. Selain itu terdapat juga beberapa
kesan kecederaan lama dan baharu di badan mangsa,” katanya.
Manoharan berkata bapa kanak-kanak itu kini menjalani hukuman penjara kerana masalah dadah.
Kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)
di sini dan tinjauan Bernama di HSNZ mendapati kanak-kanak itu dijaga
ibunya. – Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment