5/06/13
Kemelut projek KLIA2 terbongkar
KUALA LUMPUR, 5 JUN: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akhirnya mengakui projek KLIA2 tergendala teruk setelah berbulan-bulan menafikan kepincangan yang berlaku itu.
Pengakuan MAHB ini dibuat selepas Pakatan Rakyat (PR) beberapa kali
mempertikaikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata,
MAHB memberi alasan kelewatan menyiapkan kerja pembinaan yang sepatutnya
siap pada September 2011 itu kerana beberapa bahagian projek yang gagal
disiapkan kontraktor terbabit.
“Kami tidak terkejut apabila kontraktor utama projek itu menafikan
dakwaan MAHB sebaliknya menyalahkan MAHB sendiri kerana memberi arahan
berulang kepada kontrak asal,” katanya Pua dalam kenyataannya, hari ini.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mempertikaikan tindakan
MAHB yang menyalahkan pihak kontraktor selepas dua tahun berlaku
kelewatan.
“Jika ianya benar kesalahan pihak kontraktor, mengapa mereka tidak
dikenakan denda dan ganti rugi yang ditetapkan atau LAD (Liquidated
Ascertained Damage) sejak September 2011 kerana kelewatan menyiapkan
projek berkenaan,” katanya.
Menurut Pua, masalah membabitkan kontraktor itu tidak pernah disebut
MAHB atau Kementerian Pengangkutan sepanjang 18 bulan lalu ketika beliau
dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengetengahkan isu
berkenaan.
“Akhirnya, MAHB sebagai pengurus projek dan pemilik serta semua mereka
yang berada dalam pengurusan tertinggi syarikat perlu bertanggungjawab
terhadap kemelut dan perkara yang memalukan itu,” kata Pua.
Beliau dalam nada sinis turut berkata, penamaan Ketua Pegawai Kewangan
(CFO) MAHB Faizal Mansor sebagai CFO terbaik bagi Perhubungan Pelabur
oleh Persatuan Perhubungan Pelabur Malaysia (MIRA) adalah sangat ironi.
“Permulaannya kos pembinaan projek KLIA2 itu kira-kira RM2 bilion tetapi
sekarang meningkat 100 peratus kepada kira-kira RM4 bilion.“Peningkatan
drastik ini menyebabkan MAHB perlu meningkatkan bon sebanyak RM3.1
bilion dan dijangka perlukan tambahan RM1 bilion lagi pada masa akan
datang menyebabkan MAHB terpaksa berhutang,” kata Pua.
Awal tahun ini, Pua pernah mendedahkan pengumuman MAHB untuk menambah
RM598 juta melalui penempatan saham baru mengesahkan lagi bahawa
syarikat itu terdesak dan terjejas dengan kos pembinaan KLIA2 yang
meningkat.
Ia sekaligus membabitkan dana kerajaan dan kepentingan rakyat secara
langsung dengan MAHB melalui pemegang saham seperti Khazanah, Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Berhad (ASB).-Roketkini.com


0 orang berkata:
Post a Comment