Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Bonus Raya: Najib Umum Bantuan RM500, Selangor Umum Sebulan Gaji


PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama


Kakitangan Awam Selangor Terima Bonus Raya Sebulan Gaji


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembayaran bonus Hari Raya sebanyak sebulan gaji kepada kakitangan awam di negeri itu.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta dan seramai 21,776 kakitangan tetap, kontrak dan sambilan akan menerima pembayaran bonus berkenaan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

Abdul Khalid berkata, pemberian bonus ini diharap dapat meringankan tanggungan warga kerja Kerajaan Negeri bagi menghadapi persiapan Hari Raya.

“Kita berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan untuk kegunaan pada masa depan,” kata beliau.

Abdul Khalid mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, jika Kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awamnya, Kerajaan Negeri juga turut sama mengikutinya.

“Sekiranya kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini,” katanya lagi.
-selangorku

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.