Sewa rumah cecah RM8,000
Papan tanda yang mengiklan rumah untuk disewa di sekitar Kuala Besut.
 
BESUT – Selain kehangatan kempen calon yang bertanding, isu membabitkan harga sewa rumah yang melambung tinggi sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut antara menjadi bualan ramai terutamanya melibatkan petugas dari luar daerah ini.

Lebih mengejutkan lagi, sewa yang sebelum ini hanya pada kadar RM200 semalaman naik mendadak berkali ganda berikutan permintaan tinggi.

Malah kesempatan itu diambil sepenuhnya bagi pemilik yang memiliki rumah kosong untuk mengaut keuntungan.

Bagaimanapun, berikutan terdesak, rata-rata pihak terpaksa akur meskipun harga yang diletakkan tidak masuk akal kerana begitu memerlukan tempat tinggal di sini.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar sini, mendapati bunting atau kain rentang yang menawarkan rumah atau bilik untuk disewa boleh dilihat di sepanjang laluan utama kawasan Kuala Besut bagi menarik perhatian sesiapa sahaja yang bercadang untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.

Seorang petugas dari luar yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, pihaknya membuat tempahan rumah beberapa hari sebelum penamaan calon dengan harga RM8,000 untuk tempoh kurang dua minggu penginapan.

“Pada awalnya, saya agak terkejut dengan harga yang diletakkan pemilik rumah berkenaan, namun kerana tiada pilihan lain, kami terpaksa juga mengambilnya kerana rata-rata kadar harga rumah adalah sama disebabkan masing-masing ingin mengaut keuntungan.

“Malah lebih teruk, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan yang lain, harga semakin tinggi sehari selepas penamaan calon,” katanya.

Menurutnya, meskipun kenaikan harga rumah yang mendadak itu turut menjadi salah satu isu panas dalam PRK Dun Kuala Besut, namun tiada pihak yang mengambil tindakan.