Syed Hamzah Syed Omar
Syed Hamzah Syed Omar
 
PADANG TERAP - Beberapa pemimpin agama di Padang Terap menyokong tindakan Menteri Besar Kedah yang mahu mewartakan fatwa anti Syiah di negeri ini kerana ia mampu mencegah penularan fahaman yang semakin membimbangkan ini.

Imam Masjid Muadzam Shah Kuala Nerang, Syed Hamzah Syed Omar, 71, berkata, fahaman itu perlu dibendung kerajaan negeri agar ia tidak merebak ke seluruh pelosok Kedah khususnya di daerah Padang Terap.

“Adalah jelas pegangan fahaman Syiah ini sudah terseleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya dan yang menyedihkan ialah ia boleh membatalkan akidah seseorang itu.

Jika masalah ini tidak dibendung secepat m ungkin sudah pasti negara kita akan mengalami nasib yang serupa seperti di Pakistan, Syria, Iraq yang menyebabkan beribu-ribu mati kerana masalah fahaman ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Imam-iman Daerah Padang Terap, Abdul Hamid Awang, 63, berpendapat, sudah sampai masanya fatwa anti-Syiah diwartakan kerana selain bertentangan akidah, ia juga bertentangan dengan keputusan muzakarah khas Jawatankuasa Majlis  Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia iaitu menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, selepas mewartakan fatwa anti-Syiah, kerajaan negeri perlu proaktif menjelaskan kepada masyarakat tentang bahayanya Syiah dalam masyarakat hari ini.

“Kini benih-benih Syiah sudah ada di seluruh negeri ini dan kita bimbang jika kerajaan lambat bertindak ia akan berkembang dan memberi ancaman kepada politik dan tanah air pada masa akan  datang,” katanya.

Menurut bilal Masjid Bukit Tembaga di sini, Abdul Kadir Abdul Rahman, 50, langkah kerajaan mewartakan fatwa anti-Syiah itu adalah baik tetapi diharap ia tidak akan senyap begitu sahaja selepas ini.

Selepas diwartakan kelak, Majlis Agama Islam Kedah (Maik) perlu bersungguh-sungguh menangani masalah ini dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak.

Katanya, jika kerajaan negeri masih berlembut kepada golongan fahaman ini, ia akan merebak begitu cepat khususnya kepada golongan muda yang dahagakan ilmu agama pada hari ini.

"Banyak fahaman Syiah bertentangan Sunnah Wal Jamaah dan kita bimbang jika tidak dibendung, maka akan berlakulah pula fahaman bercelaru kepada generasi akan datang. Sudah pasti keadaan politik negeri ini juga terancam,” katanya.