• Laporan Sinar Harian, semalam Laporan Sinar Harian, semalam
1 / 1
BARISAN Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri apabila diminta menghadiri mesyuarat bagi membincangkan status pembangunan dan penyaluran air di seluruh Selangor yang dilaksanakan setiap dua hari.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dalam mesyuarat yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Kushrin Munawi itu, hanya dihadiri 50 kakitangan bawahan.

“Bila bermesyuarat kita panggil pegawai tertinggi Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan lain-lain termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, mereka semua datang tetapi dari Syabas lima pegawai eksekutif yang kita jemput tak datang.

“Mereka (Syabas) hantar 50 kakitangan yang purata gaji tak sampai RM150,000 sebulan sedangkan lima mereka itu kumpulan gaji hampir RM3 juta sebulan tidak datang.

"Ini menunjukkan kerajaan negeri masih belum menguasai perkara itu,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Kepada Fakir, Miskin, Anak Yatim dan Masjid, Surau di Pulau Indah, semalam.

Beliau dalam pada itu melahirkan kekesalan terhadap kritikan yang disifatkan tidak membina dilakukan pemimpin DAP berhubung isu air.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa bekerja keras dan memberi komitmen tinggi untuk memastikan bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi.

Beliau bagaimanapun akui menghargai keprihatinan pemimpin yang risau kesusahan dialami rakyat.

Namun, beliau  kesal kritikan yang dilakukan pemimpin DAP dan menganggap ia tersasar kerana Kerajaan Selangor masih belum dapat menguasai industri air meskipun secara prinsipnya Syabas bersetuju untuk diambil alih.

Terdahulu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membidas Kerajaan Selangor supaya tidak memberi alasan isu gangguan bekalan air kerana berjanji ia tidak akan berulang.

Selain itu, Adun Kinrara, Ng Sze Han semalam turut mendakwa menteri besar mungkir janji berhubung tindakan penyelesaian krisis air yang melanda negeri ini.

“Saya khuatir tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang sewenang-wenangnya menuduh kerajaan negeri lembap dan gagal akan menjatuhkan semangat pegawai yang terlibat.

“Semasa perbincangan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili, beliau turut melahirkan rasa kesal tindakan Syabas yang  gagal memastikan perkhidmatan pengagihan air dilakukan secara lancar.

“Menteri juga memberi jaminan kepada Kerajaan Selangor dan seluruh pengguna air di Lembah Klang untuk memastikan Syabas bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk selesaikan segera kelemahan teknikal agihan air untuk mengelak gangguan air tidak berjadual berulang,” tegasnya.

Katanya, pihak tertentu seharusnya faham kedudukan kerajaan negeri yang tidak mempunyai kuasa meminda pengurusan Syabas bagi menyelesaikan masalah air sebelum pengambilalihan dilakukan.

Dalam pada itu, semua pihak diminta memberi peluang kepada kerajaan negeri sekurang-kurangnya enam bulan selepas pengambilalihan sebelum membuat pertikaian.

“Untuk ini kita telah minta Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menyiapkan program pengambilalihan (step in). Katakan bulan Julai kita ambil alih, kena bagi masa enam bulan untuk kita urus. Jika kita ada masalah barulah boleh kata kerajaan negeri tidak cerdik urus air. Kena bagi kita masa kerana dalam perniagaan pun kita diberi masa.