• Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi reaksi dalam sidang akhbar ketika menghadiri Taklimat Janji Ditepati Barisan Nasional Sarawak hari ini. Turut sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (kanan). - Foto Bernama  
  • Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi reaksi dalam sidang akhbar ketika menghadiri Taklimat Janji Ditepati Barisan Nasional Sarawak hari ini. Turut sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (kanan). - Foto Bernama
1 / 1
KUCHING - Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi apa jua perubahan politik dan juga pilihan raya negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Katanya pelbagai isu berkaitan pilihan raya negeri dibincangkan pada sesi taklimat beliau dengan jentera BN Sarawak hari ini, antaranya soal berkaitan projek-projek pembangunan yang dijanjikan buat negeri, pendaftaran pemilih, dan juga tanah adat pribumi (NCR).
  
Beliau berkata sejak berlalunya pilihan raya negeri Sarawak yang lepas pada 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah mengumumkan peruntukan yang menjangkau lebih RM3 bilion bagi pelbagai projek pembangunan untuk dilaksanakan di Sarawak.
  
"...arahan hari ini adalah supaya segala projek yang diumumkan akan kita laksanakan selaras dengan (konsep) janji ditepati. Kalau ada isu-isu berkaitan tapak, kontraktor dan hal-hal tertentu peringkat negeri, ia akan diselesaikan sebelum pilihan raya negeri akan datang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat berkenaan di sebuah hotel di sini hari ini.
  
Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu beberapa jadual lawatan beliau dan juga Perdana Menteri sudahpun disusun oleh kepimpinan BN Sarawak, bagi membolehkan mereka memantau sendiri masalah-masalah yang dihadapi penduduk kawasan tertentu.

Mengulas prestasi BN dalam menunaikan janji-janjinya di Sarawak, Muhyiddin berkata melihat kepada keadaan sekarang, prestasinya cukup baik, namun apa yang penting adalah segala yang diumumkan itu mesti disempurnakan dalam tempoh sekitar dua tahun akan datang.

Menurutnya banyak projek diumumkan secara berperingkat, pada skala yang pelbagai, dan ia perlu diteliti satu persatu.
 
Muhyiddin berkata selain itu pada 30 Julai ini, Petronas akan memberikan taklimat terperinci kepada kerajaan negeri berhubung pelbagai projek yang dilaksanakan syarikat berkenaan, termasuk tentang hasil minyak negara, perbelanjaannya dan isu berkaitan.
  
Merujuk kepada isu parti baharu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang ditubuhkan beberapa wakil rakyat Sarawak daripada BN, Muhyiddin berkata perkara itu sudah dibincangkan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri sendiri sudah mengambil maklum mengenainya.

"Setakat ini kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri (Sarawak) selaku Pengerusi BN Sarawak (untuk menanganinya), dengan mengambil kira situasi yang sensitif mengenainya.
  
"Tapi yang penting adalah memastikan bahawa apapun yang timbul nanti tidak akan menjejaskan kedudukan BN," katanya dan menambah Adenan memerlukan sedikit masa lagi untuk menangani isu berkenaan.

Muhyiddin berkata apa jua formula penyelesaian yang akan diketengahkan Adenan nanti, apa yang penting adalah hasilnya perlu memperkuatkan lagi BN, dan beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dengan semangat kerjasama dan persefahaman dalam BN.
  
Pada 15 Mei lepas, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan mengumumkan beliau keluar parti lalu menyertai Teras, dan turut bersama-sama beliau ialah empat lagi bekas wakil rakyat parti itu yang terdiri daripada Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu) serta Anggota Parlimen Baram Anyie Ngau.
  
Pada hari yang sama, Datuk Seri Wong Soon Koh, bekas timbalan setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut mengumumkan keluar daripada parti itu kerana krisis dalaman dan beliau bersama-sama tiga orang lagi wakil rakyat Dayak SUPP; Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) dan Johnical Rayong (Engkilili); menyertai Teras.
  
Muhyiddin yang berada di Sarawak untuk lawatan kerja sehari dijadualkan menghadiri program Sekolah Amanah anjuran Yayasan Amir di SK Tabuan dan sambutan Gawai Dayak di Redeems Centre di Bau, sebelum berlepas pulang ke ibu negara malam ini. - Bernama