• Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 / 1
SHAH ALAM - [Dikemaskini] Tindakan kerajaan mengurangkan perbelanjaan sektor awam didakwa bersifat berat sebelah dan tidak menyentuh kepada perkara-perkara besar yang menyebabkan bebanan kewangan kepada rakyat.

Sebaliknya apa yang berlaku kata Pengarah Strategi PKR, kos sara hidup rakyat tetap meningkat dan pemborosan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak dapat ditangani.

"Saya juga ingin menegur Datuk Seri Najib kerana langkah-langkah penjimatan yang diumumkan beliau banyak melibatkan kakitangan awam di bawah, seolah-olah memberi gambaran bahawa kakitangan kerajaan adalah punca utama pembaziran pentadbiran beliau.

"Langkah-langkah seperti menjimatkan elektrik, mengurangkan perbelanjaan kain rentang dan lain-lain memberi gambaran seolah-olah beliau menyalahkan kakitangan kerajaan," ujar Rafizi Ramli yang juga ahli Parlimen Pandan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri berkuatkuasa esok.

Katanya, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun depan.

PKR bagaimanapun membidas tindakan itu dengan mendakwa 11 pengurangan itu tidak membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Walaupun pemotongan elaun keraian sebanyak 10 peratus adalah satu isyarat bahawa pentadbiran beliau tahu kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang diumumkan BN akhir-akhir ini, ia sedikit pun tidak akan membantu menghentikan pembaziran dan keborosan sedia ada," ujarnya.

Rafizi memberi contoh elaun bulanan keraian yang diterima perdana menteri ialah RM16,979. Apabila ia dipotong 10 peratus, perbelanjaan yang berjaya dijimatkan RM1,698 sebulan atau RM20,374 setahun.

"Ini bermakna, Datuk Seri Najib hanya memotong sebanyak RM1,698 sebulan dari peruntukannya yang berjumlah berbilion ringgit.

"Daripada sejumlah RM6.8 bilion yang diperuntukkan kepada beliau untuk projek-projek berbentuk kempen politik (melalui dana fasilitasi sebanyak RM4 bilion, penyusunan masyarakat sebanyak RM900 juta, program mesra rakyat sebanyak RM665 juta, program pembangunan RM1.1 bilion dan projek khas RM202 juta), satu sen pun tidak dipotong sedangkan perbelanjaan sebeginilah yang menyebabkan wang rakyat dibazirkan dengan sewenang-wenangnya," tegasnya lagi.

Rafizi turut mencadangkan empat langkah mudah kepada perdana menteri bagi membantu mengurangkan beban rakyat;

1.      Menurunkan cukai eksais kereta serta-merta sebanyak 30% ke arah menghapuskan cukai eksais kereta sepenuhnya. Hutang kereta adalah salah satu bebanan utama rakyat dan penurunan cukai eksais kereta akan mengurangkan tanggungan hutang bulanan.

2.      Menghentikan kenaikan tol seperti yang dirancang dan merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi tol supaya lebuhraya yang sudah mendapat kembali modal pelaburan dikembalikan kepada rakyat.


3.      Membatalkan peruntukan untuk projek yang bertujuan memberi ruang berbelanja kepada menteri-menteri tanpa matlamat yang jelas, contohnya peruntukan untuk National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang berjumlah RM278 juta seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2014.


4.      Membekukan kesemua program penswastaan yang diusahakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) terutamanya penswastaan kampus-kampus UiTM di seluruh negara yang dijangka membebankan rakyat dan kerajaan dengan berbilion ringgit yang perlu dibayar sebagai sewa kepada pemegang konsesi di masa hadapan.