• Johan Abdul Aziz
1 / 1
SHAH ALAM – Umno Selangor menyelar kenyataan Pengarang mingguan Katolik, Herald, Father Lawrence Andrew yang didakwa bersikap biadab kerana mahu terus menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu.

Setiausahanya, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, kenyataan dibuat oleh paderi itu sekali gus menidakkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai penggunaan kalimah ALLAH.


Johan berkata, kenyataan seperti itu juga didakwa bertentangan dengan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran kepada Orang Islam) 1988.


Enakmen diluluskan semasa Barisan nasional (BN) memerintah Selangor itu turut melarang bukan Islam di negeri ini menggunakan 35 perkataan Arab termasuk ALLAH, Nabi, Injil dan Insya-ALLAH.


“Enakmen ini terpakai kepada semua, mereka perlu faham dan berhati-hati buat kenyataan. Mereka bukan dia tidak tahu dan ini melampau,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Andrew berhubung gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.


Andrew berkata, Artikel 11(3) (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri.
Menurutnya, Jais selaku badan penguatkuasa agama Islam negeri tidak berhak terhadap kumpulan agama lain.

14 November lalu, Sultan Sharafuddin bertitah penggunaan kalimah ALLAH dalam bible dan juga penerbitannya dalam akhbar mingguan The Herald versi Bahasa Melayu, perlu dihentikan serta-merta.


Johan berkata, Umno Selangor mendesak Jais bertindak tegas dalam perkara ini kerana kenyataan itu didakwa mencabar enakmen tersebut.


Menurutnya, pihaknya mendesak paderi tersebut menarik semula kenyataan itu serta memohon maaf secara terbuka dalam masa seminggu.


Katanya, sekiranya paderi tersebut gagal mematuhi desakan itu, Umno Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut.


“Kita desak paderi tarik balik kenyataan ini dan minta maaf terbuka dalam tempoh seminggu ini.


“Tindakan yang kita ambil bergantung pada paderi sendiri dan sekiranya senyap maka kita akan gerakkan 22 Umno bahagian di negeri ini,” katanya.


Dalam pada itu, beliau menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung isu tersebut.


“Kita tinggal di negeri ini berbilang kaum dan agama, jangan cetuskan sebarang perkara yang menggugat sensitiviti.


“Sultan Selangor j uga merupakan Ketua Agama Negeri Selangor, maka semua pihak perlu menghormati perkara itu,” katanya.