• KTM
1 / 1
KUALA LUMPUR - Perkhidmatan KTM komuter akan beroperasi 24 jam bermula esok hingga 1 Januari sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2014.

Menurut kenyataan KTM Berhad, perkhidmatan terus menerus disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai meraikan sambutan tahun baharu yang dianjurkan di beberapa lokasi di sekitar ibu kota seperti Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang.

KTM Berhad menyediakan 36 tren tambahan di antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi dengan kekerapan setiap 30 minit hingga jam 2 pagi dan setiap 60 minit sehingga jam 5 pagi bagi laluan pergi balik Rawang ke Sg Gadut dan Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

KTM Berhad menasihatkan para penumpang agar membeli tiket dua hala bagi mengelakkan kesesakan di kaunter dan mesin tiket ketika waktu pulang.

"Pada pelanggan juga dinasihatkan sentiasa memastikan semua tanda dan arahan keselamatan dipatuhi sepenuhnya. KTMB juga akan menyediakan jumlah kakitangan tambahan yang mencukupi bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna terjamin," menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi KTM Berhad di talian 1300-88-5862. - Bernama