• PDRM
1 / 1
KUALA LUMPUR - Polis memandang serius penyebaran e-mel yang didakwa dihantar oleh rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Rahim Ghouse, kepada Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, berhubung rancangan letupan di beberapa kawasan strategik sempena sambutan tahun baharu Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan, telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati keamanan dan ketenteraman di negara ini di samping menyambut kedatangan tahun baharu," katanya dalam laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia.  

Beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 1,151 laporan polis diterima dari seluruh negara terhadap bantahan penganjuran perhimpunan memudaratkan ketenteraman awam yang disebarkan melalui media sosial sebelum ini.

Sementara itu, Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Abdul Rahim menafikan yang beliau menulis surat tersebut dan percaya ada orang lain telah menggunakan namanya. - Bernama