BERAKHIR sudah muktamar Pas ke-59. Saya teruja dengan pelawaan Presiden Pas mengajak Umno untuk bermuzakarah bagi melaksanakan hukum Islam, jika sekiranya Umno benar-benar ikhlas dan bersungguh.

Wahai Umno, sahut pelawaan tersebut. Panggil mesyuarat tergempar. Segera bincangkan agenda ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi. Tunjukkan kesungguhan.


Saya sangat ingin melihat Presiden Pas dan Umno duduk semeja. Tidak mengapalah kalau tidak bersetuju buat kali pertama. Tetapi duduklah dahulu, demi masa depan Islam tercinta.


Jika hukum Islam yang menjadi keutamaan, apa salahnya berbincang? Lagipun ia hukum ALLAH. Umat Islam berhak untuk mendapatkan haknya dalam negara kepunyaannya. Apakah itu salah dan tidak boleh dilaksanakan?


Presiden Pas menegaskan, Pas bersedia dengan barisan pakar untuk muzakarah itu seperti ulama, mahupun peguam. Umno pun tidak kurang dengan pakar-pakarnya. Apa lagi? Mulakan langkah pertama. Kalau tidak ada moderatornya, saya menawarkan diri.


Saya neutral, walaupun ultra kiasu menuduh saya tali barut Umno. Sejak bila saya masuk Umno dan Umno membayar saya? Hidup saya serba sederhana sebagai penjawat awam.


Inilah jahatnya tuduhan ultra kiasu untuk mematikan karakter seseorang yang mahu memastikan agama dan umatnya terdaulat. Saya tidak kisah, saya serahkan kepada ALLAH, walaupun diugut dan dihina. Selagi ALLAH ada, jangan sekali kita menyerah kalah.


Presiden Pas berkata, mereka telah berbincang dengan ultra kiasu, walaupun ditentang, tetapi dengan Umno masih belum. Pas mendakwa Umno paling kuat menentang Islam, bukannya DAP. Persoalan saya, sejak bila Umno menentang hukum ALLAH?


Alasan Pas, Umno tidak pernah menghadiri majlis penjelasan berkaitan hukum Islam walaupun dipelawa Pas. Wahai Pas, alasan ini bukan bermakna Umno menolak hukum ALLAH.


Wahai Umno buktikanlah, bahawa kamu tidak menentang Islam. Terus-terang saya katakan, banyak perkara telah dilakukan oleh Umno dalam meninggikan syiar Islam, cuma hukumNya sahaja masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Justeru, tunggu apa lagi!


Kata Presiden Pas lagi; “DAP memang tidak setuju dengan Islam. Kalau dia setuju, dia dah lama masuk Islam. Tapi DAP boleh dibawa berbincang walaupun tidak setuju. Pernah tahun 90-an kita adakan perbincangan mengenai hudud. DAP datang, persatuan Kristian, Buddha, Sikh datang, Umno yang tidak datang”.

Wahai umat Islam dalam Umno, Perdana Menteri telah menyambut seruan Pas. Yakinkanlah Perdana Menteri. Jangan terus membodek dia untuk menolak pelawaan ini.

Jika ditakdirkan, kalah pun dalam perbincangan. Yakinlah di mata ALLAH kita menang, kerana niat kita betul. Bincanglah apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa betul, siapa salah. Saya yakin, pasti ada titik pertemuan. Persetankan parti ultra kiasu kafir dan parti ultra kiasu Melayu. Sejak dahulu mereka tidak mahu kepada Islam.


Ambillah iktibar hati-hati datuk nenek-moyang Melayu Islam terdahulu? Hati mereka bersih. Sanggup mempertahankan nyawa, bergolok bergadai memastikan negara ini terus berdaulat hingga ke hari ini.


Pejuang seperti Tok Janggut, Dato Sagor, Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Abdul Rahman Limbong dan Mat Salleh berjuang tanpa kepentingan untuk kita hari ini. Kini, kita tidak dijajah lagi.

 Jika masih buntu, marilah kita renungi bersama kata-kata Imam Al-Ghazali untuk beroleh petunjuk bagi memulakan langkah pertama. Semuanya bermula dengan membersihkan hati: “Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH SWT, pinta hati yang baharu kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati.”

Inilah hati Melayu yang sebenar. Bebaskan dari dendam dan hasad dengki. Carilah hati itu. Mudah-mudahan Melayu dan Islam akan menjadi kuat. Sebagai mualaf, saya sentiasa berdoa mudah-mudahan umat Islam kembali sedar bahawa masa sudah terlalu suntuk.


Lakukanlah untuk generasi akan datang, meskipun kita tidak dapat merasainya hari ini. Perkara ini penting, sebelum kita hilang kuasa. Selamatkanlah umat Islam di bumi tercinta ini.