Malaysia, China tandatangan 14 MoU, perjanjian
BEIJING - CHINA. Malaysia dan China menandatangani 14 Memorandum
Persefahaman (MoU) berkaitan pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan,
kewangan dan sektor pembinaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Li
Keqiang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu selepas
mempengerusikan bersama mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China di
Great Hall of the People di sini Selasa.
Mesyuarat dua hala itu turut disertai Perutusan Khas Perdana Menteri ke
China, Tan Sri Ong Ka Ting, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman,
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Kiong.
Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk
Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul
Rahman Dahlan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid; Menteri
Kerajaan Tempatan Sarawak Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Besar Johor
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif
Abdul Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron serta
pegawai tinggi kerajaan.
Hishammuddin menandatangani MoU berkaitan pembaharuan Kerjasama
Pertahanan Dua Hala bersama Menteri Pertahanan China Jeneral Chang
Wanquan, manakala Ahmad Shabery pula menandatangani MoU mengenai
Kerjasama Pertanian bersama Menteri Pertanian China Zhi Suhping.
Ahmad Shabery dan Zhi turut menandatangani Protokol antara Pentadbiran
Am dalam Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin Republik Rakyat
China dan Kementerian Pertanian Malaysia berhubung Keperluan
Pemeriksaan, Kuarantin dan Kebersihan Veterinar untuk Mengeksport Sarang
Burung Mentah.
Antara perjanjian lain yang ditandatangani adalah pembaharuan semula
MoU mengenai Kerjasama Pendidikan antara Menteri Pendidikan Datuk Seri
Mahdzir Khalid dan rakan sejawatannya dari China, Chen Baosheng.
Ketua Setiausaha Perbendaharan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah
turut menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Kewangan antara Malaysia
Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dengan Export-Import Bank of China (EXIM),
yang diwakili Naib Presidennya, Yuan Xinyong.
Terdahulu, Najib menerima kunjungan hormat Pengerusi National People's
Congress (NPC) Zhang Dejiang di Great Hall of the People sebelum diberi
sambutan rasmi dalam upacara yang berlangsung di perkarangan kawasan
itu.
Jalur Gemilang dan bendera negara China berkibar megah di petang yang dingin ini.
Lagu kebangsaan kedua-dua negara, Negaraku dan March of the Volunteers,
bergema di udara sebaik sahaja Najib serta Li menaiki pentas khas untuk
menerima tabik hormat terdiri daripada anggota Chinese People's
Liberation Army, dengan diiringi tembakan meriam 19 das. - Bernama
4 orang berkata:
wah gawat tuh
sepewrti menguntungkan sesaat
jangan di bodohi
baramuda
Post a Comment