Sokongan Cina: Perwakilan kata Umno boleh beri jambatan emas, darah tidak
December 01, 2011
KUALA LUMPUR, 1 Dis ― Perwakilan Kelantan Datuk Che Alwi Ahmad hairan kenapa kaum Cina tidak mahu memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) sedangkan pemimpin besar China mengiktiraf peranan dimainkan Umno, yang merupakan parti teras perikatan itu.
Kajian dan analisis menunjukkan sokongan pengundi Cina yang merosot tiga tahun lalu tidak banyak berubah.
Katanya, seorang presiden China pernah berkata ketika negara itu dipulau oleh dunia Barat, pemimpin Melayu iaitu Tun Abdul Razak Hussein yang membuka mata mereka dengan menjalin hubungan Malaysia-China pada 1974.
“Kalau pemimpin besar China boleh menghargai peranan orang Melayu (Tun Razak) kenapa orang Cina di Malaysia tidak menghargai peranan Umno?” katanya ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011.
Beliau membuka gelanggang perbahasan setelah perhimpunan tiga hari itu dirasmikan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang juga ADUN Kok Lanas bertanya apa lagi orang Cina hendak sedangkan BN sudah beri “jambatan emas, jambatan perak, hati nyamuk, hati kuman” sambil membawa kisah Sultan Mahmud Shah meminang Puteri Gunung Ledang.
“Orang Cina hendak jambatan emas, kita beri tapi orang Cina hendak darah, tak bolehlah,” katanya.
Menurutnya, Sultan Mahmud sanggup memenuhi semua permintaan “Puteri Gunung Ledang kecuali mengorbankan darah anaknya, Tengku Ahmad.”
“Ini menunjukkan bahawa Raja Melaka tidak sanggup mengorbankan darah bangsanya demi memuaskan kehendak nafsunya,” kata beliau yang meminta orang Umno terus mengutamakan kepentingan bangsa berbanding kepentingan diri.
Che Alwi turut bertanya siapa yang rasis, adakah, Umno atau DAP.“Siapa yang hina Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan kulitnya hitam metalik? Oleh itu siapa yang rasis, orang Umno atau orang DAP?” katanya lagi. Beliau mengajak semua orang Umno mempertahankan Putrajaya.
“Dahulu orang PAS kata bila mereka menang mereka nak jual Putrajaya, kini mereka mahu menawan Putrajaya. Muka tak malu,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment