Ahmad Maslan tolak tawaran saham Felda
Datuk Ahmad Maslan
MELAKA - Perjuangan Umno bukan berbentuk "asabiyah" sebaliknya lebih bersifat "wasatiyyah", kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Umno mengamalkan dasar yang adil, sederhana, seimbang dan tidak fanatik terhadap kaum Melayu sahaja.


"Perjuangan kita (Umno) selaras dengan konsep wasatiyyah ini dan yang bukan Islam jangan khuatir, kita ini bukan asabiyah sebagaimana tuduhan pembangkang," katanya kepada kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan penjawat awam dan seminar pemahaman wasatiyyah dan gagasan 1Malaysia yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini, semalam.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


Katanya, Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf peranan semua kaum dan bukannya menindas kaum lain.


"Konsepnya itu besar... asabiyah itu maksudnya fahaman perkauman sempit, naikkan bangsa sendiri, jatuhkan bangsa lain tetapi kita gagasan 1Malaysia kita nak sama-sama naik (maju)," katanya.


Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu jentera penerangan parti komponen Barisan Nasional (BN) turun padang menjelaskan kepada rakyat fakta sebenar berhubung sesuatu isu, Ahmad berharap jentera di peringkat bahagian dapat bergerak agresif dalam melaksanakan saranan itu.


Beliau berkata, pelbagai program dilaksanakan di peringkat pusat namun terdapat sesetengah bahagian yang dilihat tidak begitu aktif menjalankan program yang direncanakan. - Bernama