Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan aset dan akaun miliknya jika mahukan penjelasan beliau berkenaan dakwaan  berhubung pemilikan 20 akaun induk, membabitkan harta RM3 bilion seperti terkandung dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid, 13 tahun lepas.

"Saya mencabar Muhyiddin untuk dedahkan semua akaun dan aset  yang beliau ada, baru saya akan dedahkan akaun dan segala aset yang saya ada secara terbuka," kata Ketua Pembangkang itu di sini, petang ini.


Tegas Anwar, beliau bersedia untuk menyerahkan segala dokumen kepada pihak berwajib tetapi hanya akan dilakukan jika Muhyiddin menyahut cabarannya.


"Kenyataan yang diberi Muhyiddin itu jelas menunjukkan yang beliau terdesak hingga terpaksa mengaitkan isu ini dengan saya," kata Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) ini ketika ditemui selepas sesi dialog Agenda Ekonomi Malaysia hari ini.


"Jika benar saya bersalah berhubung isu ini, saya yakin saya akan ditahan dan disiasat sejak tahun 1998 lagi," ulas beliau.

 
Pagi tadi, Muhyiddin menggesa Anwar menjelaskan segera dakwaan berhubung pemilikan 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan berkenaan bukan perkara kecil dan dengan itu Penasihat PKR itu perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada rakyat.

"Angka (RM3 bilion) yang disebut adalah besar. Jadi, ia merupakan tanggungjawab Ketua Pembangkang untuk  memperjelaskannya. Apakah benar atau tidak. Rakyat hendak tahu... pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat tuntutan supaya penjelasan dibuat pun mewakili kumpulan rakyat yang bukan sedikit.

"Kalau tidak betul, Anwar harus mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan termasuk bekas Penolong Gabenor Bank Negara," katanya.

Selasa lepas, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan media menimbulkan persoalan mengenai status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pendedahan Abdul Murad.

Ibrahim dilaporkan berkata dalam pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara yang dibuat menerusi akuan berkanun itu antara lain mendakwa, Anwar mengawalsebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion, yang diperoleh ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada akhir 1990-an.

Akhbar hari ini pula melaporkan beberapa NGO turut menggesa SPRM supaya menyegerakan siasatan mengenai dakwaan berkenaan memandangkan ia merupakan perkara  berkepentingan awam.