Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
KOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof  meletakkan jawatan serta-merta bukannya dengan menyatakan kekecewaannya terhadap dakwat kekal.
Ketua Penerangan Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kegagalan tersebut bukan kecil kerana ia memberikan kesan besar terhadap kepercayaan masyarakat kepada ketelusan perjalanan proses PRU13.
“Dalam situasi Pakatan Rakyat (PR) meraih undi popular melebihi Barisan Nasional (BN) dan BN terus kekal memerintah, adalah sesuatu yang sangat mengaibkan jika perjalanan pilihan raya dipersoalkan ketelusannya.
“Kegagalannya diakui sendiri oleh Pengerusi SPR. Masyarakat tertanya-tanya, adakah benar kerajaan hari ini berkuasa atas mandat yang palsu?” katanya dalam kenyataan balas terhadap kekecewaan Abdul Aziz berikutan pelaksanaan dakwat kekal yang gagal di dalam pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya, tidak ada penyelesaian yang paling sesuai melainkan Pengerusi SPR dan pegawainya wajib meletakkan jawatan demi menjaga kewibawaan dan kredibiliti badan tersebut.

“Suruhanjaya bebas perlu dibentuk bagi menyiasat keraguan yang timbul dan pilihan raya semula wajib diadakan di kawasan-kawasan yang bermasalah,” katanya.