Selangor tak perlu tubuh suruhanjaya
Abdul Aziz Mohd Yusof
MELAKA - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz
Mohd Yusof berkata tiada keperluan bagi Selangor menubuhkan suruhanjaya
bagi menyiasat dakwaan berlakunya penipuan dan pelanggaran peraturan
pilihan raya di negeri itu pada PRU13 lepas.
Beliau berkata parti atau ahli politik yang tidak berpuas hati dengan
perjalanan PRU13 seharusnya mengikut saluran yang betul dengan
memfailkan petisyen di mahkamah.
"Rasa tidak puas hati mengatakan SPR itu dan ini elok dibawa ke
mahkamah tetapi berhubung suruhanjaya penyiasatan berkenaan saya tidak
pasti apa bendanya, adakah suruhanjaya ini boleh menyiasat SPR yang
ditubuhkan di bawah perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil kepada petugas PRU13
di Melaka, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mahu menubuhkan
suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan PRU13.
Beliau berkata SPR tidak melakukan sebarang penipuan ketika menjalankan
tugas sepanjang PRU13 sebaliknya mengikut peraturan yang telah
ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu
diperbaiki SPR namun ia tidak menyebabkan proses pilihan raya lepas
terbatal.
Katanya PRU13 berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi merupakan yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 85 peratus.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata parti atau ahli politik juga
seharusnya menerima keputusan PRU13 lepas dengan hati terbuka kerana ia
adalah keputusan pengundi dan bukannya SPR.
Beliau berkata perhimpunan haram bertujuan melahirkan perasaan tidak
puas hati juga tidak seharusnya diadakan kerana ia tidak mengikut
saluran yang ditetapkan.
Katanya situasi itu hanya membuang masa, tenaga dan menyebabkan
kemusnahan harta benda awam sekiranya berada dalam keadaan tidak
terkawal. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment