Rafizi Ramli SHAH ALAM - Sekretariat Penganjur #Black505 hari ini menafikan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh yang mengatakan penganjur 'Blackout 505' telah mengeluarkan arahan supaya melakukan provokasi terhadap anggota polis untuk  tujuan mencetuskan rusuhan.

Kenyataan itu bagaimanapun disanggah oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga merupakan jurucakap rasmi perhimpunan Black 505.

“Saya menafikan tuduhan tersebut. Pihak polis boleh menilai kesemua kenyataan media saya dan laporan temuramah mengenai kesemua perhimpunan Black 505.

“Tidak ada satu pun yang mengarahkan sebarang provokasi atau kekasaran terhadap pasukan polis,” katanya.

“Saya merupakan orang yang terlibat  dalam kesemua perancangan.


“ Tidak ada satu perbincangan pun yang menyentuh mengenai kekasaran terhadap pasukan polis, malah saya berhubung baik dengan Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad sepanjang penganjuran itu,” tambahnya lagi.

Menggulas lanjut mengenai perkara ini, Rafizi telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang dan saman terhadap Datuk Mohmad Salleh kerana kenyataannya itu berbaur fitnah dan tidak benar.

“Oleh kerana kenyataan Datuk Mohmad Salleh itu adalah tidak benar dan memberikan gambaran buruk terhadap saya selaku penganjur, saya akan mengambil tindakan susulan terhadap kenyataan tersebut,” katanya.