Saturday, June 15, 2013
Tengku Razaleigh sepatutnya sokong bukannya cabar Datuk Seri Najib
"Saya hormati Ku Li (Tengku Razaleigh) sebagai abang tua yang
banyak jasanya kepada Umno tetapi dalam konteks kedudukan sebagai
Perdana Menteri Malaysia, saya kira kita harus beri sokongan padu kepada
Datuk Seri Najib,"
JAWATAN Perdana Menteri yang dipegang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya dicabar buat masa ini memandangkan beliau telah berjaya menerajui Barisan Nasional (BN) dan Umno dengan baik dalam Pilihan Raya ke-13 (PRU13) yang lalu.
Datuk Seri Najib juga patut diberi masa bagi memastikan pelbagai program
transformasi yang dilancarkan oleh kerajaan dapat menunjukkan hasil.
Memberikan pendangan itu dalam wawancara dengan Berita Harian semalam,
mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, yang
juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata:
"Saya berpendapat dalam suasana sekarang di Malaysia, satu-satunya
Perdana Menteri yang patut diberi sokongan ialah Datuk Seri Najib.
"Sebab pertama, beliau telah berjaya mengemudi Umno untuk menang besar
dalam PRU13, selain mengembalikan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan
di peringkat Persekutuan dan mendapatkan semula Kedah.
"Pada saya, itu adalah satu sumbangan beliau yang sangat penting dan selayaknya beliau mengetuai Barisan Nasional.
"Yang kedua, beliau telah lakukan program-program transformasi yang
sangat mustahak untuk masa depan Malaysia. Ekoran itu, saya fikir kita
perlu berikan beliau peluang untuk meneruskan agenda transformasi."
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus bahawa beberapa
Ahli Parlimen (AP) BN dan Pakatan Rakyat (PR) bertemu sambil meluahkan
sokongannya kepada mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Razaleigh
Hamzah, untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri apabila Dewan
Rakyat dimulakan pada 24 Jun ini.
"Saya hormati Ku Li (Tengku Razaleigh) sebagai abang tua yang banyak
jasanya kepada Umno tetapi dalam konteks kedudukan sebagai Perdana
Menteri Malaysia, saya kira kita harus beri sokongan padu kepada Datuk
Seri Najib," tambah Datuk Saifuddin, yang sebelum ini disifatkan sebagai
anggota Umno yang progresif.
Sehubungan dengan itu, beliau juga tidak menjangkakan jawatan Presiden
Umno yang dipegang oleh Datuk Seri Najib dipertandingkan pada pemilihan
parti yang diramalkan diadakan November ini.
Dalam PRU13, BN berjaya memenangi 133 daripada 222 jumlah kerusi Parlimen tetapi gagal mendapatkan dua pertiga majoriti.
Walaupun ia berjaya merebut semula Kedah daripada PR, ia gagal menggugat kepimpinan PR di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Datuk Saifuddin, yang ditemui selepas
menyampaikan seminar berkaitan PRU13 di Institut Pengajian Asia Tenggara
(Iseas), berkata tindakan menuding jari terhadap masyarakat Cina kerana tidak menyokong BN harus dihentikan.
"Bagi saya, setiap pilihan raya umum itu akan ada faktor utama yang
menyebabkan kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak. Lazimnya, ia
tidak bersifat kekal. Cabaran bagi BN ialah bagaimana memenangi semula
kumpulan besar yang tidak menyokong kita dalam PRU13.
"Kami pernah mengalami masalah dengan undi Melayu pada PRU 1999 dan undi
India pada 2008. Namun, kali ini, kami dapat balik sokongan Melayu dan
India. Jadi, adalah tidak mustahil untuk mendapatkan kembali sokongan
masyarakat Cina," kata beliau.
Beliau menarik perhatian, BN bukan saja akan mendekati masyarakat Cina
dalam komponen parti BN malah juga mereka yang menganggotai badan bukan
kerajaan (NGO) Cina.
Awal dari itu, semasa menyampaikan seminarnya, Datuk Saifuddin, yang
telah dikalahkan oleh Ketua Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz
Nasrudin Hassan Tantawi, bagi kerusi Parlimen Temerloh, berkata antara
perkembangan positif yang dapat dilihat dalam PRU13 ialah para pengundi
semakin tidak memberi keutamaan kepada kaum seseorang calon itu.
"Buat pertama kalinya, saya lihat bendera Parti Tindakan Demokratik
(DAP) dikibarkan di sebuah kampung Melayu. Apabila saya nampak perkara
yang sama di beberapa lagi kampung, saya sebagai calon Umno dan BN dapat
membayangkan yang saya bakal kalah. Namun, sebagai seorang demokrat,
saya turut melihat perkara ini dari sudut yang berbeza iaitu lebih ramai
penduduk Malaysia yang tidak lagi mengundi berlandaskan kaum."



0 orang berkata:
Post a Comment