15/06/13
Exco Johor letak semua jawatan dalam MCA
JOHOR BAHRU -
Exco kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab bagi Pelancongan,
Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Tee Siew Kiong meletak semua
jawatan dalam MCA, sebaliknya hanya mengekalkan keanggotaan seumur hidup
beliau dalam parti itu.
Tee berkata beliau berbuat demikian bagi
mengelak sesetengah anggota parti itu terus mengeksploitasi
pelantikannya sebagai exco Johor.
"Saya kesal kerana sesetengah anggota
parti menjadikan pelantikan saya sebagai isu dan pada masa sama, bukan
sekadar menjadikan saya sebagai sasaran malah bertujuan memusnahkan
perpaduan parti.
"Bagaimanapun, saya tidak akan sesekali
meninggalkan parti kerana saya sudah menjadi sebahagian daripada anggota
keluarga besar ini untuk tempoh lebih 30 tahun," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Beliau meletak jawatan sebagai
setiausaha penganjur nasional, anggota majlis presiden, anggota
jawatankuasa pusat, anggota jawatankuasa pemandu pilihan raya, anggota
jawatankuasa perhubungan MCA negeri Johor, timbalan pengerusi
jawatankuasa pemandu pilihan raya MCA Johor dan pengerusi bahagian MCA
Pontian.
Tee juga akan menghadiri pendengaran
jawatankuasa disiplin MCA pada 17 Jun untuk menjelaskan penerimaan
jawatan sebagai exco Johor.
Sebagai anak Johor, katanya, beliau tidak boleh mengingkari arahan Sultan.
"Arahan Sultan menyebut bahawa mesti ada
wakil daripada setiap kaum dalam anggota majlis kerajaan negeri, jadi
saya diarah mewakili masyarakat Cina," katanya.
Tee juga berkata beliau sememangnya
tidak pernah berhasrat menentang keputusan parti untuk menolak semua
jawatan dalam kerajaan jika MCA gagal mempamer prestasi lebih baik dalam
pilihan raya ke-13 berbanding pada 2008. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment