12 Oktober, 2013
Anwar Belasah MB Selangor
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di depan orang ramai malam tadi dan
meminta beliau tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang
diperolehi tetapi gagal dalam membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, beliau memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang
disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi
terbaik.
Anwar mendakwa, setakat ini Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim
menunjukkan prestasi yang membanggakan berbanding Menteri Besar Selangor
ekoran kelemahan yang dilihat masih belum berjaya diatasi dalam
pentadbiran Khalid.
"Saya puji Lim Guan Eng yang membawa Pulau Pinang pada tahap pretasi
terbaik bagaimanapun tidak kepada Khalid kerana sudah masanya Selangor
tidak lagi berbangga dengan lebihan yang diperolehi.
"Kita tidak ada masalah dengan pengurusan beliau, hasil pendapatan
negeri juga membanggakan namun terdapat beberapa isu seperti pelajar
tidak dapat menyambung pelajaran ke pengajian tinggi selain segelintir
rakyat miskin yang tidak mampu memiliki rumah dan perkara itu masih
sukar ditangani sehingga kini.
"Apa yang lebih penting ialah pengurusan cekap, kita mahukan perubahan
jentera perbandaran seperti Majlis Bandaraya Shah Alam kerana masih
banyak aduan orang ramai dan itu yang kita mahu atasi," katanya dalam
forum laporan Ketua Audit Negara di Dewan Sivik Majlis Bandaran Pulau
Pinang (MBPJ) Petaling Jaya, malam tadi.
Anwar berkata, beliau sudah beberapa kali menyuarakan kebimbangannya mengenai perkara tersebut kepada Menteri Besar itu.
"Kita sudah melepasi fasa membuktikan kepada rakyat mengenai kemampuan
negeri Pakatan Rakyat dan kini melalui perubahan rakyat ingin melihat
bagaimana kita melaksanakannya," katanya.
Sebelum ini, Anwar menghantar Setiuasaha Agung PKR, Datuk Saifudin
Nasution Ismail untuk menyelesaikan beberapa perkara yang tidak
disenangi beliau terhadap pentadbiran Khalid.
Bagaimanapun, ia dikatakan tidak berjaya.
Saifudin dilantik menjadi Ketua Staff di Pejabat Menteri Besar Selangor Julai lalu.
Pada masa sama, Khalid juga melantik beliau sebagai pegawai yang
mengendalikan projek Pembangunan Desa untuk mengendalikan lima kawasan
Parlimen di utara Selangor yang masih bersama Umno.
Dalam pilihan raya umum lalu, Pakatan hanya tewas di lima Parlimen di
Selangor yang terletak di utara negeri maju itu dan digolongkan dalam
kawasan luar bandar.
Kawasan itu adalah Tanjung Karang, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sungai Besar. ~tmi



0 orang berkata:
Post a Comment