•  Jangan abaikan nasib petani Abdul Hadi (enam, kanan) dan calon Pas, Mohd Azam (dua, kiri) bersama pimpinan Pas menabur benih padi di sawah dekat Pulau Tembun, Kabu 10, Yan, semalam.
1 / 1
YAN - Pas menegur kerajaan Pusat supaya tidak mengabaikan nasib petani, khususnya di Kedah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mencadangkan kerajaan dapat meneruskan dan meningkatkan pemberian subsidi padi kepada golongan petani, terutama di kawasan Dun Sungai Limau.
“Subsidi ini bukan bermakna menjadi bebanan kepada kerajaan secara menyeluruh, bahkan akan mendatangkan pulangan kepada kerajaan pada akhirnya.       

"Kita mahu kerajaan berpandangan jauh dan bukan berpandangan untuk dua hingga lima hari, seperti pemberian RM500 untuk seminggu.

“Kalau kita lihat pada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Perancis, walaupun mereka utamakan kemajuan industri, mereka juga tidak mengabaikan aspek pertanian kerana ia adalah rukun hidup yang tidak boleh dipinggir dan ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menabur benih padi di sawah padi dekat Pulau Tembun, Kabu 10, di sini, semalam.

Pada Program Tok Guru Turun Padang dan Doa Awal Musim Padi itu, Abdul Hadi turut menamakan benih padi yang disumbangkan kepada beberapa orang petani di Pulau Tembun itu sempena dengan nama calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat, iaitu benih Azam.

Abdul Hadi berkata, subsidi padi oleh kerajaan adalah perlu dan tidak boleh dinafikan sekali-kali dan perlu dipertingkatkan untuk kesaksamaan antara petani, penjual dan pengguna supaya tidak memberikan tekanan dan menyebabkan golongan petani rasa tertindas.

“Kerajaan boleh menambah hasil padi sekiranya dapat ditingkatkan hasil pertanian kerana kita memiliki tanah yang luas dan sumber air yang banyak. Kita gunakan agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D), buat kajian betul-betul untuk menghasilkan pulangan yang
banyak.

“Kalau kerajaan boleh buat Felda kelapa sawit dan Felda getah, kenapa tidak boleh buat Felda padi dan sebagainya. Banyak peluang dan ruang yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan dengan sebaiknya,” katanya.

Menurutnya, cadangan tersebut adalah bertujuan untuk memastikan kerajaan dapat menunaikan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.