18 Oktober, 2013
Bukan Islam Boleh Guna Kalimah 'Allah' - Pakatan Rakyat
Pakatan Rakyat (PR) kekal dengan pendirian bukan Islam boleh menggunakan
kalimah "Allah" seperti yang diputuskan Majlis Pimpinan PR pada Januari
lalu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan pendirian PR konsisten dalam isu kalimah "Allah", selagi ia tidak disalahgunakan oleh penganut agama lain.
"Pakatan Rakyat kekal konsisten dengan pendirian kami dahulu. "Cuma
sekarang kami menggesa supaya semua pihak bertenang dan menggunakan
kebijaksanaan dalam menangani isu ini," kata Anwar dalam sidang media
yang diadakan di ibu pejabat PKR hari ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali dan penasihat DAP, Lim Kit
Siang yang turut hadir dalam sidang media sama juga senada dengan
pendirian tersebut, apabila disoal wartawan terhadap reaksi keputusan
Mahkamah Rayuan baru-baru ini.
Pada 8 Januari lalu, PR mencapai pendirian penggunaan kalimah "Allah"
boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak
disalahgunakan dan menegaskan kalimah "Allah" tidak boleh diterjemahkan
ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.
Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR
yang dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Lim dan Anwar.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan baru-baru ini, sebulat suara telah
menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam
akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada tuhan
bagi agama Kristian.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang
mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan
mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam
apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai
keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
Bekas mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang juga penasihat Majlis Agama
Islam, selepas keputusan tersebut diumumkan memberi amaran kepada
penganut Muslim yang mempersoalkan pengharaman kalimah Allah ke atas
yang bukan Muslim.
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila KDN membatalkan permit
akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan
pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk
menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam
boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi
kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam
penerbitannya. ~tmi



0 orang berkata:
Post a Comment