Jika sekali pandang, seseorang mungkin tersilap membuat penilaian dan
melihat pemimpin PAS ini sebagai seorang yang bengis, apatah lagi dengan
gaya rambut pendeknya, bermisai serta janggut.
Namun, pandangan tersebut berubah selepas The Malaysian Insider bertemu
sendiri dengan Datuk Mujahid Yusof Rawa (gambar) di Parlimen baru-baru
ini, terutama apabila beliau berpakaian kemas segak dengan tali leher
berjalur merah. Malah, beliau juga sebenarnya seorang yang tenang.
Ahli politik berusia 49 tahun itu mencuri tumpuan apabila beberapa
kumpulan Muslim membantah usahanya menjalinkan hubungan dengan penganut
Kristian menerusi penganjuran majlis dialog di gereja.
Malah, laporan polis juga dibuat ke atas Mujahid, anak kepada bekas
Presiden PAS, Yusof Rawa sebelum dialog bermula di gereja St Mark, Pulau
Pinang bulan lalu.
"Jadi, bantahan tersebut menyebelahi saya," katanya sambil tertawa.
"Kami terima banyak publisiti dan orang ramai mula terbuka dengan idea itu,” katanya.
Mujahid juga mengakui dengan reputasi sebuah parti Islam serta dilihat
ekstrem pada pandangan sesetengah orang, langkah itu berjaya mengubah
orang ramai terhadap persepsi sedemikian.
"Ya, benar. Mereka terkejut seseorang pemimpin PAS melakukannya dan
mengambil pendekatan ini. Mereka juga terkejut apabila saya berkata
kepada mereka saya bukan berseorangan dalam perkara ini, malah parti
saya juga menyokongnya," katanya.
Katanya, idea untuk "memperbaiki hubungan yang retak" hadir selepas
beberapa gereja seluruh negara diserang dan menjadi mangsa vandalisme
sekitar awal 2010.
Menyedari penganut Kristian hidup dalam kebimbangan dan menjadi mangsa,
beliau mendekati beberapa pemimpin parti dengan cadangan tersebut.
"Masyarakat bukan Islam takut dengan Islam. Gambaran yang mereka lihat
ialah Islam sebuah agama yang tidak bertoleransi, tidak menghormati hak
orang lain dan sebagainya.
"Tetapi saya ingin memberitahu mereka ia sangat berbeza dengan ajaran
Islam sebenar. Isu kalimah Allah juga mendorong saya untuk mengambil
pendekatan ini," katanya.
Pemimpin PAS, termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga memberi lampu hijau
kepadanya untuk mendekati pihak gereja.
Katanya, beliau sekurang-kurangnya telah bercakap dalam dialog di gereja seluruh negara hampir 30 minit.
"Bapa saya, arwah Yusof Rawa, adalah pendorong utama dalam hidup saya dan saya percaya beliau juga akan melakukan perkara sama.
"Beliau berperanan besar dalam hubungan antara agama dan amat disukai
oleh rakan-rakan bukan Islamnya sejak saya masih kecil lagi di Pulau
Pinang,” katanya.
Sebagai anak paling bongsu daripada 11 adik-beradik, Mujahid sangat
rapat dengan ibunya dan antara salah seorang anak yang mengikut bapanya
ke Iran, Turki dan Afghanistan semasa bapanya menjadi Duta Malaysia di
sana.
"Saya mendapat pendidikan awal daripada sekolah antarabangsa semasa di
negara ini. Kakak ketiga saya juga ikut sama untuk membantu ibu dalam
majlis-majlis rasmi,” katanya.
Beliau juga mengakui tidak pernah dihantar ke sekolah agama sebaliknya
bergantung kepada ibu bapanya yang mengajarnya tentang Islam.
"Malah semasa menjadi duta, bapa akan pulang ke rumah pada waktu
petang, duduk bersama dan mengajar saya membaca al-Quran," katanya
mengimbau saat ketika bersama bapanya.
Mujahid pulang ke Malaysia ketika berusia 14 tahun dan menyambung
pengajian menengahnya di Penang Free School sehingga ke tingkatan enam.
"Saya mempunyai impian untuk menjadi peguam, tapi saya tidak mendapat keputusan baik dalam peperiksaan STPM,” katanya.
Kehidupannya berubah selepas rakan bapanya, yang sudah menjadi presiden PAS ketika itu melawatnya dari Kelantan.
"Ustaz Yahaya Osman bertanya kepada bapa siapa yang akan
menggantikannya. Beliau bertanya kepada bapa sama ada saya berminat
untuk belajar bahasa Arab dengannya.
"Saya tidak tahu langsung tentang bahasa tersebut tapi saya berpendapat
saya perlu mengikutnya dan bercuti di Kelantan dan pada waktu sama
mempelajari bahasa Arab. Bapa saya sangat gembira tapi beliau tidak tahu
saya mempunyai niat lain," katanya sambil tersenyum.
Namun, semasa di Kelantan, Mujahid terkejut melihat dirinya semakin
fasih belajar bahasa Arab sepanjang di bawah didikan Ustaz Yahaya.
Kemudian beliau menyambung pelajaran di Universiti Amerika Kaherah di
Mesir untuk mendalami bahasa Arab dan enam bulan kemudian, beliau
menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar dalam pengajian Islam.
"Bapa saya mahu lihat saya pergi ke Al-Azhar dan beliau bangga selepas
saya mula menulis surat kepadanya dalam bahasa Arab,” katanya.
Pada tahun terakhir, seorang rakannya di Malaysia memperkenalkan
Mujahid kepada isterinya, Zuraida Husin yang juga seorang pelajar di
Al-Azhar.
"Saya tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin pada masa itu kerana
tidak mempunyai masa untuk bersuka-ria ketika itu," katanya berjenaka.
Rakannya itu bagaimanapun memaksa Mujahid, yang ketika itu berusia 26 tahun, bertemu dengan wanita berkenaan.
"Rakan saya itu mengatur pertemuan saya dengannya di sebuah kedai dan
saya berpura-pura membeli air Coca-Cola sambil melihatnya. Saya tidak
mahu dia tahu saya sedang memerhatikannya."
Selepas berpuas hati, Mujahid memberitahu rakannya dia terpikat dan
menghantar kepada Zuraida sekeping gambar yang paling baik untuk dilihat
bakal isterinya itu.
"Halangan selepas itu adalah meyakinkan bapa saya. Saya menjangkakan
jawapan yang negatif kerana dia sentiasa berkata 'belajar dahulu'.
"Tetapi dia ingin tahu dan memberitahu akan memeriksa latar belakang
keluarga bakal isteri di Terengganu terlebih dahulu. Bapa menghantar
orangnya dan mereka memberikan laporan yang baik dan kemudian kami pun
berkahwin," katanya malu-malu.
Pasangan itu kemudian kembali ke Mesir dan mempunyai cahaya mata pertama mereka di sana.
Disusuli kemudian dengan dua lagi anak perempuan dan kini Zuraida
adalah guru agama di sebuah sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Anaknya yang berusia 23 tahun kini sedang belajar dalam jurusan sains
politik di Universiti Islam Antarabangsa, manakala anak perempuan
pertama beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Antarabangsa dan
anak bongsunya bakal mengambil peperiksaan SPM tahun ini.
Mujahid juga seorang guru agama sebaik kembali dari Mesir pada 1991.
Sehingga 1999, Mujahid mengajar dan kemudian menjadi pensyarah sehingga
beliau memutuskan untuk mengikut jejak langkah bapanya.
Beliau kemudian menjadi Pengerusi PAS Bayan Baru di Pulau Pinang dan
kini Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri dan Pengerusi Biro Perpaduan
Kebangsaan parti itu.
"Saya berpendapat isu agama memberi banyak kesan kepada perpaduan nasional.
"Saya tidak fikir kerajaan berada di landasan yang betul dengan
mengheret rakyat ke dalam jurang kebencian, sikap tidak bertoleransi dan
berprasangka,” katanya.
Katanya, penganut Kristian menerima mesej yang disampaikannya dengan
baik dan perkara itu juga mengubah pandangan mereka terhadap PAS
sebagai sebuah 'parti Islam pelampau'.
"Di tengah-tengah ketegangan, orang Kristian dapat merasakan bahawa
terdapat beberapa harapan untuk mereka menerusi dialog yang diadakan,"
katanya. - 5 Oktober, 2013.



0 orang berkata:
Post a Comment