13 Disember, 2013
Rupanya Ini Punca Sebenar Ustaz Kazim Elias Tolak MT Umno
Tertekan dengan sejarah hitam hubungannya dengan PAS dipercayai menjadi
punca Mohammad Kazim Elias atau Ustaz Kazim mengambil tindakan menolak
pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Kazim berkata, beliau bimbang jika menerima pelantikan itu, semua
tindakan dan apa yang diperolehinya nanti adalah kerana beliau ahli
anggota MT parti Melayu terbesar itu dan akan menekan segala usaha
dibuatnya sekarang.
"Jika saya menerima jawatan ini, orang akan fitnah saya dan juga Perdana
Menteri dengan pelbagai perkara hanya kerana saya ahli Majlis Tertinggi
Umno," kata Kazim dalam satu temu ramah eksklusif bersama The Malaysian
Insider di pejabatnya di Ipoh awal minggu ini.
Baru-baru ini, Kazim dilantik sebagai anggota MT dan diumumkan sendiri oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum pelantikan dibuat, sekurang-kurangnya empat panggilan telefon
dibuat oleh pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Najib sendiri
kepada Kazim.
Najib melantik Kazim walaupun melanggar perlembagaan Umno kerana hanya
mereka yang menjadi ahli parti itu selama sekurang-kurangnya tiga tahun
boleh dilantik ke jawatan ini.
Kazim, seorang penceramah agama dan motivasi yang sangat popular melalui
rancangan TV di Astro Oasis dan juga di kalangan masyarakat khasnya di
Perak khasnya di kalangan wanita.
Kazim mengaku 3/4 daripada pengikutnya adalah golongan wanita kerana isu kekeluargaan adalah topik kegemarannya.
Namun selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Kazim memaklumkan beliau
terpaksa menolak jawatan itu walaupun namanya sudah diumumkan sebagai
anggota MT Umno yang baru dilantik.
Kazim tidak pernah menjadi ahli Umno akan tetapi menyertai PAS bersama
dengan Datuk Dr Hasan Ali pada tahun 1998 selepas Datuk Seri Anwar
Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Selepas menyertai PAS, beliau terpaksa meninggalkan segala-galanya
termasuk gaji, pendapatan dan sebagainya sehingga terpaksa menjadi imam
dengan gaji RM500 sebulan.
Namun kata Kazim, hubungannya dengan PAS keruh bermula apabila beliau
terpaksa menolak menjadi calon parti Islam itu pada pilihan raya umum
2004 kerana calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu merupakan
abangnya sendiri.
Atas permintaan ibunya, Kazim menolak permintaan PAS kerana tidak mahu
bertembung dengan abangnya sendiri dalam pilihan raya dan tidak
berkempen untuk parti Islam itu.
Hubungan bersama PAS bertambah parah apabila Menteri Besar Perak Datuk
Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjemputnya memberikan kuliah mingguan di
rumahnya.
"Sejak itu, saya menerima pelbagai kata nista daripada PAS hatta terhadap keluarga saya," katanya.
Beliau dipecat daripada PAS pada hujung Ogos 2013 setelah perbincangan
mengenainya dimulakan pada bulan Mei sebaik sahaja selesai pilihan raya
umum ke 13.
Kazim berkata beliau tidak pernah dipanggil ataupun dihadapkan ke mana-mana jawatankuasa PAS bagi membela diri.
Dia juga menegaskan tidak pernah menerima sebarang surat pemecatan daripada PAS.
Kazim jelas kelihatan bimbang, jika dia menerima jawatan MT Umno kali
ini, tekanan kepadanya semakin teruk lagi kerana kebanyakan pelajarnya
kini terdiri daripada penyokong atau anak kepada anggota PAS.
Semua ini berlaku kerana sikap tidak berpihak kepada parti yang diambilnya selama ini.
Kazim kelihatan sangat yakin dengan Najib sehingga meletakkan gambar
besar beliau bersama Perdana Menteri, Zambry dan pelajarnya di depan
meja kerja di pejabat beliau.
"Yang jelas, kata Datuk Seri (Najib), sekarang saya hanya boleh bercakap
saja tetapi jika jadi anggota MT, saya ada kuasa dan ada peruntukan
untuk melaksanakan apa yang saya cakapkan," katanya.
Kazim juga jelas sangat sayangkan sekolahnya iaitu Pusat Pendidikan Al
Barakah yang terletak di Manjoi, Ipoh dan bimbang jika beliau menerima
jawatan itu akan menjejaskan sekolahnya.
Kazim adalah pengetua dan pengerusi Pusat Pendidikan Al Barakah, sebuah
pusat pendidikan Islam yang kelihatan mewah dengan pelbagai kemudahan
yang hebat dan lengkap di pinggir bandaraya Ipoh.
Selain mempunyai sebuah bas yang cantik, di dalam garajnya juga ada
kereta Mercedes mewah, sebuah kereta Toyota Alphard, tiga buah van dan
juga kemudahan perniagaan dan pendidikan yang baik.
Menurut Kazim, antara yang Najib mahu beliau lakukan sebagai anggota MT
Umno adalah untuk membantu kerajaan mengubah tingkah laku anak muda,
terlibat dalam menjadikan filem dan drama agar lebih Islamik dan
mengkaji sistem pendidikan sepanjang hayat sebagaimana beliau lakukan
sekarang.
Kazim memberikan empat sebab kenapa dia menolak jawatan itu iaitu
sayangkan sekolahnya, takut dikaitkan segala-galanya dengan Umno,
bertekad untuk menjadi pendakwah mulai 28 November lalu dengan
meninggalkan ceramah di sana sini dan tidak tahan menerima tekanan
masyarakat. ~tmi
0 orang berkata:
Post a Comment