• Himpunan Turun masih terkawal - Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki
1 / 1
KUALA LUMPUR - Setakat jam 11 malam suasana himpunan aman bagi membantah kenaikan kos sara hidup anjuran Gerakan Turun Kos Hidup (Turun) masih terkawal.

Peserta yang membanjiri kawasan Dataran Merdeka berarak ke kawasan lebih hampir tetapi terpaksa berhenti di hadapan benteng polis.

Ratusan anggota polis menjadi benteng bagi menyekat kemaraan peserta ke dalam Dataran Merdeka.

Kebanjiran peserta yang cuba untuk memasuki ke kawasan padang utama  Dataran Merdeka  bagaimanapun disekat oleh pihak polis,namun begitu, peserta Turun tetap menghormati keputusan tersebut dengan hanya berarak di kawasan sekitar Dataran Merdeka tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Turun, Azan Safar turut kelihatan, beliau dijulang oleh peserta perhimpunan Turun bagi melaungkan perkataan Turun sebanyak beberapa kali.

Slogan seperti 'Turun' dan 'Hidup Rakyat' kerap dilaungkan para peserta.

Sehingga jam 11 malam, kelibat mana-mana pemimpin masih belum kelihatan.

Sementara itu, di pentas utama sedang berlangsung Konsert 'KL New Year Countdown 2014' anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara artis yang  membuat persembahan pada konsert tersebut adalah Amy Search, Jay Jay, Zainal Abidin dan Najwa Latif.