24/12/13
Kemenangan Zahid di Bagan Datoh bakal dicabar
Mahkamah Persekutuan hari ini
memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar semula petisyen yang difailkan
calon PKR bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh.
Panel lima orang hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif memutuskan bahawa sesiapa sahaja boleh memfailkan petisyen.
Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Umi Kalthum Abdul Majid pada 15 Ogos lalu
memutuskan bahawa petisyen oleh calon PKR Madhi Hasan dan pengundi Azmi
Sulaiman gagal mematuhi Peraturan 9 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya
1954.
Peraturan itu menetapkan nama peguam bagi pihak yang memfailkan petisyen
perlu dinyatakan dalam dokumen itu dan mahkamah tidak menerima
sekiranya petisyen difailkan oleh firma-firma undang-undang.
Laporan sebelum ini menyebut, dua petisyen berkenaan mendakwa calon BN,
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membeli undi dan membelanjakan lebih
daripada jumlah yang dibenarkan secara sah untuk berkempen.
Petisyen itu menyatakan bahawa Ahmad Zahid membelanjakan sehingga RM2
juta, sedangkan had perbelanjaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya ialah RM200,000 bagi kerusi Parlimen .
Petisyen tersebut disertakan dengan gambar-gambar dalam blog Ahmad
Zahid, yang digambarkan beliau mengedarkan bantuan dalam kawasan
Parlimennya sebagai bukti.
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Mahkamah Tinggi
untuk mendengar petisyen pilihan raya Lubok Merbau. Kerusi ini dimenangi
oleh BN Siti Salamah Mat Jusak, dengan kelebihan hanya 53 undi
berbanding undi yang diperolehu cakib PAS Mohd Zainuddin Mohd Yusof.
Mahkamah Persekutuan juga menolak rayuan oleh BN bagi kerusi Lembah
Pantai dan Batu yang dipegang oleh PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Tian
Chua.


0 orang berkata:
Post a Comment