• Cukai pintu: DBKL terima 80,000 bantahan Tengku Adnan ketika mengadakan lawatan di kawasan ‘Park n Ride’ Bandar Tasik Selatan, semalam.
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kira-kira 80,000 bantahan cadangan penilaian semula cukai pintu diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga tempoh akhir bantahan, semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya akan menilai semua bantahan sebelum memutuskan kadar cukai pintu.
Menurutnya, rata-rata bantahan yang diterima menggunakan alasan sama, menggambarkan mereka tidak faham cadangan berkenaan.

“Hal ini telah dijelaskan, yang mana kadar tidak akan naik, mereka fikir mereka perlu bayar cukai dengan harga tinggi seperti jumlah dalam notis yang diberikan, walhal itu adalah nilai baru sewaan hartanah mereka, dan mereka perlu bayar berdasarkan kadar sama.

“Namun, kadar ini saya akan putuskan sama ada akan dikurangkan, mengambil kira bantahan yang dihantar.

“Saya juga telah minta datuk bandar hantar notis baru bagi menjelaskan hal ini pada Januari depan,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan Park ‘n’ Ride, Bandar Tasik Selatan, semalam.

Kelmarin, berlangsung himpunan bantahan cadangan penilaian semula cukai pintu di Dataran DBKL, menyaksikan kira-kira 20,000 surat bantahan dihantar kepada DBKL.
DBKL sebelum ini telah menghantar lebih 500,000 notis cadangan penilaian semula cukai pintu kepada seluruh pemilik hartanah di ibu negara.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Setiausaha Agung Umno, turut mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tion Lai yang mahu BN mengekalkan sistem konsensus sedia ada berikutan sistem berkenaan telah berjalan dengan baik selama ini.

Tengku Adnan dalam kenyataan terdahulu, bercadang untuk mengguna pakai kaedah majoriti mudah berbanding sistem konsensus yang kini diamalkan BN dalam membuat keputusan.

“Kita akan putuskan sama ada mahu mengekalkan sistem konsensus ataupun kaedah majoriti mudah melalui undian yang akan dilakukan pada mesyuarat akan datang.

“Jika melalui konsensus, kalau satu parti kata tak setuju seperti parti BN atau MIC, maka konsep tersebut tak boleh dilaksanakan, kerana konsep tersebut memerlukan persetujuan bersama,” katanya.

Tambahnya, cadangan menggunakan kaedah majoriti mudah kerana sistem tersebut mewakili hak bersama, sama ada parti kecil mahupun besar.
“Saya terkilan apabila pembangkang menyatakan pembohongan besar kepada rakyat dengan mengatakan Umno cucuk hidung parti lain MIC dan MCA, sedangkan keputusan semua bergantung pada keputusan bersama. Jadi tidak perlulah semua konsep
konsensus itu, saya cadangkan menggunakan konsep majoriti mudah,” katanya.