MoF perjelas penjualan aset kerajaan
KUALA LUMPUR - Penjualan aset kerajaan dan pensekuritian hutang
kerajaan bukanlah satu-satunya cara untuk kerajaan mengukuhkan kedudukan
kewangannya, kata Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).
Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan komited untuk mengurangkan
paras defisit fiskal daripada 5.4 peratus pada 2010 kepada 3.0 peratus
pada 2015 dan seterusnya mencapai bajet berimbang pada 2020.
Sasaran ini akan dicapai menerusi konsolidasi fiskal kerajaan, kata MoF
sebagai membalas kenyataan yang dikeluarkan oleh Anggota Parlimen
Pandan Rafizi Ramli berhubung penjualan aset kerajaan dan pensekuritian
hutang kerajaan.
Kementerian berkata penjualan tanah menerusi inisiatif pengewangan aset kerajaan bertujuan memajukan tanah berkenaan serta membangunkan kawasan persekitarannya.
Kementerian berkata penjualan tanah menerusi inisiatif pengewangan aset kerajaan bertujuan memajukan tanah berkenaan serta membangunkan kawasan persekitarannya.
"Inisiatif pengewangan aset kerajaan ini telah dilaksanakan sejak 2008.
"Langkah ini telah merangsang lebih banyak penglibatan agensi kerajaan,
syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan
ekonomi negara," kata MoF dalam satu kenyataan hari ini.
Mof berkata aset kerajaan dipindah milik pada harga pasaran dengan
penilaian dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah.
"Sebelum sebarang penjualan tanah dilaksanakan, pandangan dan
persetujuan daripada agensi pengguna akan diperoleh terlebih dahulu
mengenai perancangan penggunaan tanah tersebut.
"Penjualan tanah ini tidak akan dilaksanakan sekiranya agensi tersebut
tidak bersetuju atau mereka mempunyai perancangan untuk membangunkan
tanah tersebut," katanya.
Kementerian itu berkata pengewangan aset merupakan aktiviti yang biasa
dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan bagi menjana aktiviti ekonomi.
"Sebagai contoh, tanah kerajaan United Kingdom di Canary Wharf, London
yang dijual kepada sektor swasta untuk dibangunkan sebagai hab kewangan
antarabangsa.
"Langkah yang sama juga dilaksanakan oleh kerajaan Singapura dan Hong Kong," katanya.
Berkenaan pensekuritian hutang kerajaan pula, MoF berkata langkah ini
dilaksanakan bagi mewujudkan modal pembiayaan tambahan untuk pinjaman
perumahan penjawat awam.
"Hasil pensekuritian hutang kerajaan bukan merupakan sumber utama hasil
Kerajaan Persekutuan kerana ia hanya mencakupi 1.9 peratus daripada
jumlah hasil Kerajaan Persekutuan.
"Pensekuritian hutang adalah satu aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh
bank-bank komersil sebagai satu strategi pembiayaan," katanya.
Sementara itu, MoF berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Rafizi
mengenai maklumat di atas adalah berdasarkan Laporan Malaysia Economic
Monitor (MEM) yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pada 1 Disember 2013.
"Untuk makluman, sumber maklumat dalam penerbitan MEM tersebut
diperoleh daripada Laporan Ekonomi 2013/2014 dan Anggaran Hasil Kerajaan
Persekutuan 2013/2014 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan
Malaysia.
"Kedua-dua laporan tersebut telah pun dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober 2013.
"Oleh itu, cadangan untuk mengadakan satu sidang Parlimen tergempar
seperti yang diuar-uarkan dalam media bagi membincangkan isu ini tidak
berbangkit," katanya.
MoF menasihati semua pihak supaya meneliti laporan yang dibentangkan di
Parlimen sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas, demi kebaikan
bersama. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment