Monday, December 16, 2013
Kenapa tak dakwa saya Syiah - Anwar
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk
Seri Anwar Ibrahim mendakwa tuduhan Syiah terhadap Timbalan Presiden PAS
Mohamad Sabu tidak lebih sebagai agenda Umno BN untuk menjatuhkan musuh
politik mereka.
Lebih malang katanya, Jabatan Kemajuan
Agama Islam (Jakim) juga dilihat cuba dijadikan boneka oleh pemimpin
politik BN bagi mencapai matlamat itu.
Menurut Anwar, sekiranya kerajaan sudah cukup bukti maka teruskan pendakwaan dan jangan hanya retorik semata-mata.
"Saya ingin bertanya kepada pegawai
Jakim adakah beliau mengikut arahan dari Naib Presiden Umno (Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi) atau berdasarkan undang-undang Islam?" soal
Anwar.
"Kerana sebelum ini ada kes yang saya
bawa di Mahkamah Syariah, Jakim tidak pernah menolong, Jakim perlu
tetapkan pendirian dulu," katanya dipetik The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan buku "Spirit of Merdeka" di Hotel Empire, Subang Jaya semalam.
KDN sebelum ini mendedahkan '10 bukti'
yang mengaitkan Mohamad terlibat ajaran Syiah yang salh satunya mendakwa
kerana Mohamad mengagumi Khomeini.
Bagaimanapun bukti itu dilihat banyak
pihak sebagai dangkal dan ramai dikalangan pemimpin politik termasuk
dari Umno sendiri memperlekeh pendedahan itu.
Mengulas bukti itu Anwar berkata,
semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau pernah melawat
Khomeini pada awal tahun 1980 di atas kapasitinya selaku Pengerusi
Angkatan Belia Islam Malaysia.
"Saya merupakan rombongan kedua ke Tehran selepas Revolusi di Iran untuk bertemu dengan Khomeini.
"Adakah ini juga bermaksud saya turut
mengamalkan fahaman Syiah? Saya pergi pada tahun 1980 kerana diundang
dan semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri tiada orang dakwa saya
pula?" soal beliau sambil menambah Mohamad sendiri tidak pernah berjumpa
dengan Khomeini.
Kelmarin KDN tampil dengan kenyataan
terbaru menggesa Mohamad sebagai individu yang dituduh, untuk
mengemukakan bukti menafikan tuduhan yang dibuat mereka.
Mereka juga mendakwa akan menyerahkan
semua bukti yang mengaitkan Mohamad dengan fahaman Syiah kepada Jakim
untuk tindakan lanjut.
0 orang berkata:
Post a Comment