- Dec 22, 2013
- HARAKAHDAILY
MADINAH:
Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Arab Saudi
dijangka melonjakkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Riyadh di tahap lebih
tinggi dalam pelbagai bidang.
Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi
'Alauddin Mohd Nor berkata kunjungan ini menunjukkan hubungan erat yang
sedia terjalin antara kedua-dua buah negara sejak lebih 50 tahun lalu.
Beliau bercakap dalam sidang media sempena lawatan kerja empat hari Perdana Menteri di Arab Saudi.
Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongan yang dijadual
tiba lewat petang Sabtu (semalam) akan menunaikan solat Subuh di Masjid
Nabawi dan menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W yang terletak di dalam
masjid itu.
Esok, Najib dijadual melawat beberapa tempat bersejarah seperti
Masjid Quba, Bukit Uhud dan Masjid Qiblatain di sini sebelum berlepas ke
Makkah untuk menunaikan umrah.
Najib dijangka menghadap Penjaga Dua Rumah Suci Raja Abdullah Abdul
Aziz Al-Saud pada Isnin (tempat dan waktu akan ditetapkan) dan pada
Selasa beliau akan menunaikan tawaf Wida' sebelum berlepas pulang.
'Alauddin juga berkata kerajaan Arab Saudi juga mengagumi kepimpinan
Perdana Menteri yang mengetengahkan dasar-dasar pragmatik dan sesuai
dengan rakyat Islam dan bukan Islam di Malaysia yang turut sama membantu
kerajaan menjayakan agenda pembangunan negara selain usaha Najib
mempromosi konsep kesederhanaan di pentas antarabangsa.
Konsep itu membantu membina keamanan sejagat.
Katanya kepakaran rakyat Malaysia dalam bidang IT dan kejuruteraan
dan projek-projek infrastruktur mega bernilai berbilion ringgit mendapat
pengiktirafan kerajaan Arab Saudi kerana ia banyak memberi sumbangan
kepada ekonomi negara itu.
Nilai pelaburan kedua-dua buah negara setakat 2012 berjumlah RM11.7
bilion dengan 40 peratus daripada keseluruhannya oleh Malaysia, katanya.
Antara sembilan pelabur utama Malaysia di Arab Saudi ialah MMC
Corporation Bhd, Felda Global Ventures Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad
dan Khazanah Holdings terlibat dalam beberapa projek.
Tanpa menyebut nilai eksport kedua-dua buah negara, beliau berkata
negara itu mengeksport minyak dan bahan berkaitan manakala Malaysia
mengeksport sejumlah kecil barangan seperti besi, elektronik dan
makanan.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Abdul
Razak yang turut hadir pada sidang media itu berkata lawatan kerja
Perdana Menteri amat dinanti-nantikan kerajaan Arab Saudi.
Lawatan ini juga menunjukkan hubungan erat Kuala Lumpur-Riyadh dalam
pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat
kedua-dua buah negara terutama dalam sains, sosial dan IT, katanya.
Katanya antara kepakaran yang disumbangkan Malaysia ialah melalui
kajian usahasama Universiti Teknologi Malaysia mengenai bekalan air
bawah tanah yang membawa impak besar yang boleh dikongsi dua negara
berkenaan.
Dalam bidang pelancongan, Mohd Khalid juga berkata Malaysia
menyasarkan untuk menarik 110,000 pelancong negara ini yang gemar
berbelanja besar dengan purata seorang pelancong membelanjakan RM8,000
seminggu, sempena Tahun Melawat Malaysia tahun depan.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kira-kira 80,000
pelancong negara ini berkunjung ke Malaysia. Lebih 102,000 pelancong
Arab Saudi melawat Malaysia tahun lepas.
Katanya promosi program Malaysia Rumah Keduaku juga akan
diperhebatkan di kalangan rakyat Arab Saudi dengan kelebihannya yang
tersendiri iaitu sebuah negara yang indah, seimbang dan selamat,
walaupun pesat membangun.
Ini juga mendorong ramai pelajar negara ini terutama wanita, untuk melanjutkan pengajian di Malaysia, katanya. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment