Polis siasat himpunan guling kerajaan
- Seorang anggota polis menunjukkan poster mengandungi gambar suspek yang dipercayai menyebarkan maklumat supaya orang ramai menghadiri Perhimpunan Guling Kerajaan yang dikatakan akan diadakan pada malam 31 Disember ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Polis meminta seorang individu yang gambarnya tertera
dalam satu poster menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai Himpunan
Guling Kerajaan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini, untuk tampil
segera membantu siasatan.
Poster terbabit yang menampilkan wajah seorang lelaki berkaca mata hitam dan mengikat kain berwarna kuning di kepala, dikesan tersebar di internet sejak semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya berharap individu yang wajahnya tertera pada poster berkenaan dapat menyerah diri secepat mungkin.
"Kita perlukan dia untuk membantu siasatan bagi memastikan, adakah dia yang membuat hebahan tersebut atau gambarnya disalah guna oleh individu lain.
"Kita perlu memastikan perkara ini terlebih dahulu kerana sejauh mana kesahihan seruan memanggil anak-anak muda menyertai himpunan tersebut belum diketahui," katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Derma Pengajian
Anak-anak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak RM30,000 daripada Persatuan Komuniti Korea di negara ini yang disampaikan melalui Duta Korea ke Malaysia, Cho Byung Jae, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun memandang serius perkara tersebut kerana jika ia benar (himpunan), mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 124 C Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Menurutnya, siasatan juga akan dibuat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma kerana ia melibatkan kesalahan keselamatan.
Menurutnya, satu laporan polis juga dibuat semalam dan pihaknya sudah mengambil langkah-langkah proaktif berhubung perkara tersebut.
"Orang awam dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan atau perkara yang cuba dilakukan pihak penganjur.
"Kita melihat perkara ini sebagai satu ancaman serius kepada negara. Kita akan pantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat," katanya.
Khalid berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut diminta menghubungi Asisten Superintendan N Krishnamoorthy di talian 03-22666178 atau 019-29992694 bagi membantu siasatan.
0 orang berkata:
Post a Comment